Buli, jauh dari rumah punca Orang Asli sengsara di sekolah

(Dari kiri) Yaliyana Lenab, Nora Kantin and Sylvia Ordina Othman berkongsi pengalaman hidup mereka ke dalam sebuah buku.

PETALING JAYA: Seperti kebanyakan kanak-kanak dari perkampungannya, Nora Kantin berhenti sekolah setelah dibuli kerana berketurunan Orang Asli.

Dia merupakan salah seorang daripada 18 wanita dari seluruh Malaysia yang menyumbang kisah mereka melalui buku, “Kami Pun Ada Hak Bersekolah: Wanita Orang Asli Bersuara”.

Buku ini menceritakan pengalaman wanita Orang Asli yang dibuli dan didiskriminasi ketika di sekolah.

“Budak perempuan biasanya, dia akan duduk depan kita dan bertanya mengapa Orang Asli busuk, miskin,” katanya dari suku Temiar dari Kampung Lambok, Gua Musang, Kelantan.

Nora, 31, merasa kecewa dengan kata-kata menyakitkan rakan sekolahnya yang disebut berulang kali.

Nora yang kini ibu kepada 4 anak, berkata tiada apa yang berubah sejak dari zaman persekolahannya apabila anak-anaknya turut dibuli seperti mana dilaluinya. Salah seorang anak lelakinya selalu hilang kasut di asrama sekolah.

“Seorang lagi anak lelaki saya belajar di sekolah menengah. Pembuli cuba memotong rambutnya dan mengoyak baju sekolahnya,” katanya, sambil menambah pembuli adalah pelajar Melayu dan Orang Asli dari suku lain.

Seorang lagi penyumbang kisah, Yaliyana Lenab, yang dikenali sebagai Yana mengenang kembali bagaimana sesetengah rakan sekolahnya mengejek mengatakan Orang Asli suka makan katak, monyet dan babi, sedangkan itu hak mereka.

“Saya cepat marah dan saya cakap kenapa buli Orang Asli macam tu, sedangkan Orang Asli tak pernah hina mereka,” katanya.

Yana, 26, dari suku Semelai dari Kampung Batu Peti, Rompin, Negeri Sembilan, berkata bukan pelajar sahaja yang membuli Orang Asli.

Dia mengenang kembali bagaimana seorang guru di sekolah menengah memberi lebih perhatian kepada pelajar Islam lain berbanding pelajar Orang Asli yang beragama Islam dan tidak mempedulikan pelajar Orang Asli bukan Islam lain.

Katanya, guru itu akhirnya dihantar untuk mendapatkan kaunseling dan dikenakan tindakan disiplin kerana terlalu berat sebelah.

Seorang lagi penulis bersama, Sylvia Ordina Othman, yang kini menjadi guru sukarela di SK Segambut, Kuala Lumpur, tidak berdepan kejadian buli seperti Yana dan Nora.

Tetapi masalah buli adalah antara sebab dia mengikuti bidang pendidikan.

Brenda Danker dari Freedom Film Network (kanan) dan Rusaslina Idrus dari Universiti Malaya yang merupakan editor bersama buku ‘Kami Pun Ada Hak Bersekolah: Wanita Orang Asli Bersuara’.

Sylvia, 22, dari suku Temiar dari Kampung Bal RPS di Gerik, Perak, berkata: “Saya fikir sekurang-kurangnya 50% anak Orang Asli tidak mahu pergi sekolah.”

Katanya, bukan sahaja buli, perjalanan yang jauh dan sukar untuk berulang-alik ke sekolah juga menjadi punca kanak-kanak Orang Asli berhenti daripada meneruskan persekolahan.

Sylvia berkata, mereka terpaksa bangun sebelum matahari terbit untuk menaiki bas, bot dan pacuan 4 roda untuk sampai ke sekolah. Cuaca yang buruk di pergunungan dan hutan juga membuatkan perjalanan lebih sukar dan memenatkan daripada biasa. Oleh itu, sesetengah mereka memilih untuk tinggal di asrama.

“Saya tahu banyak kejadian buli ketika saya berada di sekolah menengah di mana Orang Asli tidak diterima oleh rakan-rakan mereka, dan ramai yang tidak mahu pergi ke sekolah lagi selepas itu,” katanya.

Buku wanita yang diterbitkan oleh Freedom Film Network, dilancarkan minggu ini di Universiti Malaya.

Mereka optimis buku tersebut akan mendorong perubahan yang bermakna dan mengurangkan budaya buli yang berterusan di sekolah.

Mereka mahu menceritakan kisah mereka dengan harapan lebih ramai orang akan menyedari masalah itu.

Jika hasilnya beberapa kanak-kanak berasa kurang tertekan di sekolah, maka mereka telah berjaya mencapai sesuatu yang positif.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku “Kami Pun Ada Hak Bersekolah: Wanita Orang Asli Bersuara”, sila emel [email protected]

Buli, jauh dari rumah punca Orang Asli sengsara di sekolah