Duit dari Maika milik saya, kata pemimpin MIC

Vell Paari dakwa sebelum terbitnya dakwaan oleh Sarawak Report, ada cubaan untuk memeras RM3.5 juta daripadanya.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung MIC, S Vell Paari hari ini menyifatkan dakwaan Sarawak Report bahawa dia dibayar jutaan ringgit oleh syarikat berkaitan MIC, Maika Holdings sebagai “melampau dan semberono”.

Vell Paari, anak kepada bekas presiden S Samy Vellu berkata, keadaan kewangan Maika dalam keadaan mundur semasa dia mengambil alih jawatan ketua pegawai eksekutif.

Dia mendakwa dia membiayai syarikat milik MIC itu dari semasa ke semasa, membolehkan Maika memenuhi tanggungjawab kewangannya.

“Apabila Maika ada dana, mereka akan kembali wang saya terlebih dulu.

“Sebenarnya, pada masa Maika ditutup, syarikat itu masih berhutang kepada saya sejumlah besar wang yang didahulukan kepadanya dan gaji-gaji saya yang tidak dibayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dokumen yang disiarkan Sarawak Report menunjukkan wang, sebahagiannya dalam bentuk tunai, dibayar kepada syarikat-syarikat yang ada kaitan dengan Vell Paari.

Maika ditubuhkan pada 1983 oleh Samy sebagai syarikat pelaburan untuk MIC, mengutip RM106 juta daripada kira-kira 66,400 orang India, kebanyakannya berpendapatan rendah.

Mereka dijanjikan keuntungan yang lumayan tetapi akhirnya hanya mendapat 80% daripada pelaburan asal.

Laman itu memetik laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia oleh seorang penyelesai yang terlibat dalam penutupan syarikat itu, mengenai bayaran yang dibuat antara 2003 dan 2009.

Vell Paari menjelaskan bayaran dibuat kepada sebuah firma Afrika Selatan, yang berjumlah RM500,000 dan bukan AS$3.12 juta (RM12.71 juta), yang disiarkan laman itu, dilakukan mengikut aturan pelaburan oleh Maika.

“Aturan itu diluluskan oleh lembaga pengarah serta ahli-ahli Maika di mesyuarat agung tahunan.

“Setakat yang saya tahu, aturan pelaburan itu telah ditamatkan dan bayaran telah dibayar balik kepada Maika,” katanya.

Vell Paari seterusnya mendakwa sebelum terbitnya dakwaan oleh Sarawak Report, dia dihubungi 2 pihak, salah seorangnya mengatakan artikel itu boleh “diselesaikan” dengan bayaran RM3.5 juta.

“Itu cubaan jelas untuk memeras saya.

“Saya tidak mahu diperas, dan kemudian, artikel itu diterbitkan,” kata Vell Paari, yang tidak mendedahkan identiti 2 orang itu.

Vell Paari juga berkata semua sahamnya di Maika sudah dijual kepada G Team Resources & Holding Sdn Bhd.

Semua dokumen berkaitan perkara yang didakwa dalam artikel itu dalam simpanan penyelesai Maika, M Thangaveloo Arasu, katanya.

Beliau berkata SPRM dan polis merampas beberapa dokumen syarikat antara 2005 dan 2008 berhubung siasatan-siasatan terhadap pihak-pihak lain, dan siasatan-siasatan itu sudah tamat.