Johor rancang tampung sendiri keperluan air terawat

(Gambar Bernama)

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi membekalkan air terawat kepada Johor.

Menteri Besar Osman Sapian berkata perancangan bagi menampung sendiri keperluan air terawat di Johor itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Saya sentuh sedikit mengenai isu air dengan Singapura, saya ingin memberi pencerahan sedikit bahawa telah ada perancangan untuk tidak lagi bergantung kepada Singapura bagi mendapatkan sumber air terawat yang kita beli daripada mereka selama ini.

“Tetapi perkara ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan saya tidak dapat kongsikan butirannya pada ketika ini sehingga perancangan ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Menteri Besar Johor hari ini.

Osman berkata demikian ketika berucap pada penutup sesi pemukiman kerajaan Johor bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan jemaah menteri di Putrajaya hari ini.

Semalam, Dr Mahathir dalam sesi pemukiman berkenaan mahu Johor mengambil langkah proaktif menyelesaikan isu pembelian air terawat daripada Singapura.

Sementara itu, Osman berkata pemukiman 2 hari bermula semalam itu berjaya mencapai objektif penganjurannya.

“Program ini secara keseluruhan berjaya mencapai objektif iaitu meningkatkan tahap kerjasama antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Banyak idea dan pandangan bernas yang telah dilontarkan oleh barisan kepimpinan negeri dan juga anggota pentadbiran persekutuan,” katanya.

Seramai 12 menteri, 2 timbalan menteri dan seorang ketua pengarah daripada 15 kementerian terlibat memberikan perkongsian mengenai kementerian masing-masing sepanjang sesi pemukiman berkenaan.

Sesi pemukiman disertai Adun dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan Johor itu satu program berbentuk diskusi yang membincangkan pelbagai topik melibatkan pentadbiran seperti membentuk ekonomi mampan, agenda pekerjaan, pengangkutan, pendidikan kesihatan dan lain-lain.