Kami pertimbang benarkan institusi pendidikan langgan Utusan semula, kata Maszlee

Umno melepaskan 31.6% pegangan sahamnya dalam Utusan awal bulan lalu.

CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan membenarkan semua agensi dan institusi di bawahnya melanggan Utusan Malaysia semula.

Ia susulan keputusan Umno melepaskan 31.6% pegangan sahamnya dalam akhbar itu kepada sebuah syarikat milik penuh Pengerusi Eksekutif Utusan, Abd Aziz Sheikh Fadzir.

“Itu satu perkara yang menarik untuk difikirkan, tapi kita belum buat apa-apa keputusan lagi.

“Setelah kita membuat keputusan, kita akan beritahu keputusan tersebut,” kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik selepas melancarkan Kelab Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Model Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Sekolah Seri Puteri, hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, Maszlee dilaporkan memohon semua bahagian agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan berhenti melanggan Utusan serta-merta.

Umno memindahkan 35 juta unit sahamnya kepada Opulence Asia Sdn Bhd pada 8 Februari lalu.

Sementara itu, Maszlee mengingatkan pelajar Malaysia di Pakistan dan India supaya sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan, susulan konflik antara 2 negara itu selepas berlaku serangan udara rentas sempadan, Rabu lalu.

“Jika apa-apa berlaku, kita mempunyai prosedur operasi standard kita dan kita minta pelajar-pelajar sentiasa berhubung rapat dengan pihak kedutaan.”

Keadaan menjadi tegang selepas Pakistan dan India mendakwa saling menembak jatuh jet pejuang pihak lawan, Rabu lalu.

India mendakwa pada Selasa yang pesawat perangnya memasuki ruang udara Pakistan dan menjatuhkan bom ke atas sebuah “kem tentera” selepas lebih 40 tentera India maut dalam satu serangan bunuh diri di Kashmir yang dikuasai India pada 14 Februari lalu.