Kementerian Pertahanan lapor SPRM berkait hasil siasatan projek AES

Rafizal Ali (bertali leher merah) menunjukkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dibentangkan kepada Kementerian Pertahanan pada 28 Januari lalu.

PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang didakwa membabitkan campur tangan bekas perdana menteri dan beberapa menteri kerajaan terdahulu.

Pegawai tugas khas kepada menteri pertahanan, Rafizal Ali berkata, pendedahan itu terkandung dalam hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang turut diserahkan kepada SPRM hari ini.

“Dalam hasil siasatan yang dibentangkan kepada pihak kementerian pada 28 Januari lalu, JKSTUPKK mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi dan meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.

“JKSTUPKK juga mendapati wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan termasuk bekas perdana menteri dan beberapa menteri Kabinet kerajaan terdahulu yang lebih menjurus kepada kepentingan politik,” katanya kepada wartawan di luar ibu pejabat SPRM di sini.

Rafizal berkata, hasil siasatan mendapati wujud keraguan terhadap cadangan pengambilalihan projek AES yang hanya dibuat dalam perbincangan pada September 2014 yang tidak direkodkan.

“Jawatankuasa siasatan berpendapat, pemilihan Lembaga Tabung Angkatan Tentera untuk mengambil alih AES lebih kepada cubaan untuk menutup tuduhan kerajaan cuba melaksanakan ‘bail-out’.

“Wujud keraguan mengapa LTAT perlu membayar RM555 juta bagi mengambil alih AES, sedangkan kos asal sebanyak RM40 juta.”

Beliau menggesa SPRM menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti alasan LTAT mengambil alih AES pada harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran dan wang pencarum berisiko mengalami kerugian.

Katanya, ada 14 lagi kes membabitkan projek “land swap” di bawah Kementerian Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional yang belum diserahkan kepada SPRM.

“Masih ada kes-kes pembelian aset ketenteraan yang belum sampai kepada kita daripada jawatankuasa. Insya Allah dalam masa terdekat, kita akan keluarkan serentak ataupun satu persatu.”

Pada 19 Februari lalu, laporan akhir siasatan ke atas dakwaan amalan salah di Kementerian Pertahanan mendapati wujud campur tangan politik dan tiada usaha wajar menyeluruh dalam projek “land swap” di bawah kementerian itu.

Menterinya, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, JKSTUPKK yang dipengerusikan Ambrin Buang mendapati anggaran kerugian dan ketirisan hasil kerajaan sepanjang pelaksanaan projek itu “melebihi RM500 juta”.

Katanya, hasil siasatan yang dibentangkan pada 28 Januari lalu mendapati ada 16 projek “land swap” melibatkan 2,923 ekar tanah bernilai RM4.756 bilion milik Kementerian Pertahanan dan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.