Kerajaan naikkan sasaran kutipan cukai kepada RM150 bilion

CYBERJAYA: Kerajaan menyasarkan kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM150 bilion pada tahun ini berbanding sasaran awal RM147 bilion.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sasaran ditingkatkan berdasarkan keyakinan yang diberikan oleh Pengerusi LHDN Ahmad Badri Mohd Zahir, yang mana keluaran dalam negara kasar (KDNK) dijangka berkembang 4.9% pada tahun ini.

“Sebelum ini kita telah memungut cukai langsung berjumlah RM137.035 bilion iaitu peningkatan 11.13% berbanding 2017 dan menetapkan kutipan RM147 bilion untuk 2019.

“Tetapi kali ini kita tetapkan sasaran lebih tinggi iaitu RM150 bilion, rakyat percaya kerajaan bersih tidak akan rompak mereka, kalau kerajaan bersih maka rakyat akan menikmati hasil pendapatan negara,” katanya pada sambutan Hari Hasil 2019 hari ini.

Lim berkata, individu yang menyertai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) kerana memiliki akaun bank di luar negara dan masih gagal membuat pelaporan cukai hanya perlu membayar 10% hingga 15% daripada jumlah penalti asal.

“Ini diskaun istimewa dan peluang keemasan, kalau lambat nanti kena bayar lebih,” katanya.

Setakat 21 Februari, lebih 203,000 orang secara sukarela mengisytiharkan pendapatan mereka dan membayar cukai tambahan dan penalti sebanyak RM1.31 bilion.

Selain itu, sejumlah RM1.64 bilion baki pembayaran balik cukai pendapatan dilaksanakan kerajaan kepada pembayar cukai bermula Januari lalu meliputi 32,000 kes.

Jumlah tersebut merangkumi 18,215 syarikat, 14,082 bukan syarikat dan 162 duti setem.

“Ini janji kerajaan pada tahun lalu untuk menyelesaikan kesemua baki bayaran balik cukai pendapatan pada tahun ini.

“Jadi proses pembayaran balik dapat dilakukan segera sebaik sahaja peruntukan bayaran balik diterima LHDN,” katanya.