Lelaki mengaku tak bersalah rompak, cederakan wanita dalam lif stesen MRT

Tertuduh didakwa merompak barang milik pengurus bank, Lee Meei Shan dan mencederakan mangsa dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, bulan lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang didakwa merompak dan mencederakan seorang wanita dalam lif stesen MRT 2 minggu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Pembaiki pendingin hawa, G Thinathayaalan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh yang berkemeja biru tua dan seluar paras lutut, didakwa merompak pengurus bank, Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, 2 kad ATM bank, 2 kad kredit dan wang tunai RM400, serta sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lif Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, di sini, pada 6.45 pagi, 14 Februari lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya, N Joy Jothi tidak menawarkan ikat jamin kerana perbuatan tertuduh sangat kejam dan mengambil kira kejadian itu mendapat tumpuan masyarakat selepas rakaman kamera litar tertutup tersebar di media sosial.

“Kes ini menjadi tular kerana kejadian dirakam melalui CCTV. Pohon jaminan tidak dibenarkan berikutan kejadian ini sangat kejam.”

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, tidak membuat sebarang rayuan untuk jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pada 14 Februari lalu, rakaman CCTV selama 55 saat menunjukkan mangsa yang menaiki lif seorang diri, dipukul dan ditendang seorang lelaki sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wangnya.

Thinathayaalan juga didakwa di 2 Mahkamah Sesyen.

Di depan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan melakukan rompak bersenjata ke atas seorang lelaki Bangladesh di sebuah kedai serbaneka, dipercayai 15 minit sebelum dia melakukan rompakan dalam lif stesen MRT.

Dia didakwa merompak Hossain Md Mobarok dengan melarikan 9 kotak rokok jenama Dunhill di Kedai KK Mart Taman Tayton View, Cheras, pada 6.30 pagi, 14 Februari lalu mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya, Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu serius dan tertuduh yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat rayuan kepada mahkamah.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Mac untuk sebutan semula kes.

Thinathayaalan juga mengaku tidak bersalah di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah atas tuduhan merompak sehingga mendatangkan kecederaan kepada tukang cuci Indonesia, Miftahul Jannah, 29, dengan mengambil sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM1,800.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik sewa di Jalan Manis, Taman Segar, Cheras, pada 6.40 pagi, 10 Februari lalu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya, Kamarul Aris Kamaluddin tidak menawarkan jaminan, manakala Thinathayaalan yang tidak diwakili peguam juga tidak membuat rayuan.

Mahkamah menetapkan 1 April untuk sebutan semula kes.