Mahkamah benarkan peguam negara mula prosiding peguam Najib hina mahkamah

Tommy Thomas memfailkan permohonan ex-parte pada Februari lalu dengan hanya menamakan Muhammad Shafee Abdullah sebagai defendan.

KUALA LUMPUR: Peguam Negara, Tommy Thomas hari ini memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi di sini untuk memulakan prosiding komital (hina mahkamah) terhadap peguam, Muhammad Shafee Abdullah berhubung kenyataan media dibuatnya berkaitan kes Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Firuz Jaffril membenarkan permohonan “ex-parte” (sebelah pihak) yang difailkan Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Shafee.

“Mahkamah menetapkan 25 Mac untuk pengurusan kes,” kata peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili peguam negara itu kepada pemberita, selepas kes didengar di dalam kamar.

Permohonan ex-parte itu difailkan Februari lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi yang hanya menamakan Shafee sebagai defendan.

Dalam permohonannya, peguam negara berkata, Shafee adalah seorang peguam bela dan peguam cara yang mewakili Najib yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini atas beberapa kesalahan berkaitan skandal 1MDB.

Beliau berkata, pada 7 Februari lalu, selepas selesai prosiding membabitkan tertuduh di Mahkamah Tinggi, defendan wawancara beberapa wartawan di luar kamar mahkamah, dan ia dirakam seorang juruvideo dari Kinitv.com dan disiarkan Kinitv di https://m.kinitv.com/video/70311O8.

Thomas mendakwa defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui kenyataannya yang menyinggung perasaan itu adalah menghina hakim dan boleh menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau berkata, defendan mengetahui atau sepatutnya mengetahui kenyataannya yang menyinggung perasaan itu sudah tentu secara jelas meletakkan hakim di kedudukan memalukan dan mewujudkan ketidaktentuan mengenai keadilan dan kesaksamaan keputusan kes jenayah itu.

Beliau mendakwa kata-kata itu dituturkan dengan sengaja oleh defendan dengan niat cuba memberi tekanan dan mempengaruhi keputusan mahkamah dalam kes jenayah itu.

Thomas berhujah, kenyataan menyinggung perasaan itu dibuat sebaik sahaja selesai prosiding membabitkan tertuduh yang hanya membawa satu maksud dan berniat menghina mahkamah serta hakim, dan ia akan menjejaskan pelaksanaan keadilan dan keyakinan awam terhadap sistem keadilan di Malaysia.

Beliau seterusnya berkata, dengan mempertimbangkan kata-kata itu secara keseluruhannya, ia secara munasabah memberi tanggapan kepada orang awam, jika tertuduh disabitkan kesalahan itu, hakim perbicaraan adalah tidak betul dan dipengaruhi, saksi diajar serta bukti direka.

Beliau berkata, kata-kata itu juga bukan sahaja boleh memberi kesan buruk kepada imej dan martabat mahkamah serta hakim di Malaysia, tetapi juga meletakkan hakim perbicaraan di kedudukan memalukan, kata-kata itu akan mewujudkan satu situasi ketidaktentuan mengenai tercapai atau tidaknya keputusan adil dan saksama dalam kes itu.

Sementara itu, Shafee berkata, beliau akan mencabar prosiding komital itu.