Najib pertahan ‘walkout’, dakwa wartawan jadi mangsa propaganda

Wartawan Mary Ann Jolley dengan hadiah yang diterima daripada Royal Television Society (gambar Twitter)

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini mempertahankan tindakannya menamatkan temu ramah dengan Al Jazeera tahun lalu – episod yang menatijahkan anugerah temu ramah terbaik bagi tahun itu daripada badan media British.

“Saya tiada masalah tinggalkan pemberita asing selagi saya tidak tinggalkan rakyat negara saya,” katanya.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada keputusan Royal Television Society memberi penghargaan kepada wartawan Mary Ann Jolley yang mengendalikan temu ramah yang disiarkan melalui program 101 Al Jazeera, Oktober lalu.

Dalam temu ramah itu, Jolley mendesak Najib menjawab sama ada beliau tahu mengenai pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu; pengasas AmBank, Hussain Najadi dan timbalan pendakwa raya, Kevin Morais.

Berang dengan soalan tersebut, Najib memberitahu Jolley supaya menumpukan soalan beliau kepada isu ekonomi sahaja.

Walaupun pada awalnya Najib bersetuju untuk meneruskan temu ramah, beliau akhirnya meninggalkan set apabila Jolley bertanya pula mengenai ahli perniagaan Low Taek Jho, yang melarikan diri kerana dikehendaki pihak berkuasa berhubung skandal 1MDB.

Najib berkata hari ini, Al Jazeera taksub dengan kes Altantuya dan mendakwa Jolley dipengaruhi propaganda politik golongan yang berkuasa.

“Sila bagi tahu dia bahawa ketaksubannya terbukti tidak berasas memandangkan polis di bawah kerajaan baru telah dapati tiada bukti kaitkan saya dengan kematian wanita Mongolia itu.

“Tiada usaha menutup kes itu,” kata Najib.

Najib sering dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya, yang badannya diletupkan di kawasan hutan dekat Shah Alam pada 2006 berikutan hubungannya dengan pembantu Najib ketika itu, Abdul Razak Baginda.

Razak kemudian dibebaskan tanpa dipanggil membela diri, walaupun siasatan baru sedia dibuka berhubung pembunuhan tersebut yang dikaitkan dengan dakwaan bayaran berjuta ringgit dalam pembelian 2 kapal selam Perancis ketika Najib menjadi menteri pertahanan.

Najib juga mendakwa masyarakat diberi maklumat mengelirukan mengenai isu tersebut.

“Sebagai contoh, mahkamah sudah lama membuktikan letupan yang digunakan bukan C4, walaupun ia dipercayai ramai.

“Untuk kali terakhir, (saya hendak memberitahu) saya tidak pernah bertemu dengan mangsa. Tidak pernah,” katanya.