NGO, Umno dan PAS himpun di Masjid Negara bantah tindakan hina Islam

Asyraf Wajdi Dusuki (3 dari kiri, bersongkok dan berbaju putih) berucap kepada hadirin di perkarangan Masjid Negara, petang tadi.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 orang berhimpun di Masjid Negara untuk membantah tindakan pihak yang menghina Islam dan Nabi Muhammad serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Penganjur, Gerakan Pembela Ummah melaungkan takbir selepas solat Jumaat dan jemaah mula memenuhi perkarangan masjid.

Ada yang memegang sepanduk berbunyi “Nabi Muhammad junjungan kami”, “Hukum penghina nabi” dan “Islamofobia dalam negara Islam, kenapa ini boleh berlaku”.

Turut hadir ialah wakil Umno, PAS dan badan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Persatuan Belia Islam Nasional, Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia serta Ikatan Muslimin Malaysia.

Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki terkilan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa tidak bertindak segera terhadap individu menghina Islam.

“Kita marah bila nabi dihina sebegitu rupa, dahulu pun ada penghinaan, tapi kita ambil tindakan segera. Ini kita terpaksa berhimpun baru nak bertindak.

“Saya bagi jaminan, kalau ada lagi yang memperkotak-katikkan Islam, kita akan lawan dan turun lagi ramai daripada himpunan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum). Tidak kira parti politik ataupun NGO, kita akan kuatkan semangat perpaduan Islam.”

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, umat Islam sentiasa menghormati agama lain kerana Islam melarang umatnya menghina agama lain.

“Kami diajar untuk tidak menghina agama lain kerana bimbang mereka akan caci tuhan kita, sebab itu kita tidak menghina.

“Kita diajar dengan agama, jadi kalau kami boleh hormat kamu, kamu perlu hormat kita.

“Kita diajar untuk tidak menghina nabi, tetapi ada yang tak kenal dan tak sensitif mengenai agama Islam. Melayu boleh hilang tanah, tapi tak boleh hilang agama. Melayu boleh dihina, tapi jangan hina nabi kita.

“Kita berhimpun sebab nak beritahu orang Islam masih ada perasaan, walaupun tak solat sekalipun, tapi masih ada jiwa, ada roh terhadap Islam.”