Pegawai SPR ada maklumat langsung kesalahan kamu, Azhar beritahu Najib

Pengerusi SPR menjelaskan mengapa pegawainya membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri pada PRK Sungai Kandis.

PETALING JAYA: Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya yang membuat laporan polis terhadap Najib Razak berhubung dakwaan kesalahan pilihan raya pada pilihan raya kecil sebelum ini mempunyai maklumat langsung mengenainya, kata Azhar Harun.

Pengerusi SPR memberitahu FMT bahawa pegawai berkenaan membaca Facebook Najib pada hari mengundi PRK Sungai Kandis.

“Najib, selaku seorang wakil rakyat dan bekas perdana menteri, patut tahu membezakan maklumat langsung yang memenuhi keperluan-keperluan pembuktian dan maklumat tidak langsung, yang juga dikenali sebagai khabar angin.”

Beliau menjawab peringatan daripada Najib hari ini bahawa pegawai SPR boleh melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak berkuasa, ditengah-tengah dakwaan Pakatan Harapan membeli undi pada pilihan raya kecil Semenyih.

Najib merujuk kepada laporan yang dibuat terhadapnya oleh pegawai SPR berhubung catatan Facebook yang dianggap berkempen di hari pengundian.

Azhar menambah laporan yang dilaporkan terhadap Najib itu sebelum pelantikannya sebagai pengerusi SPR.

Beliau berterima kasih kepada kakitangan SPR atas usaha keras mereka menanam kesedaran mengenai kesalahan pilihan raya.

“Kakitangan SPR nampaknya berjaya menanam kesedaran ini sehingga Najib sendiri bercakap mengenai kesalahan pilihan raya dan bahaya kesalahan-kesalahan itu dan impaknya pada demokrasi.”

Azhar mengulangi seruannya kepada Najib supaya membawa usul ke Parlimen supaya SPR diberi kuasa yang Najib harapkan.

“Saya beri jaminan jika SPR diberi kuasa, ia akan menyiasat dan mendakwa semua pelaku, termasuk orang-orang yang berulang kali melakukan kesalahan semasa PRU-13, PRU-14 dan PRK.”