Pekerja asing: Levi pelbagai peringkat dilaksana 1 Jan 2020

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia bersetuju mekanisme levi pelbagai peringkat untuk pekerja asing meliputi semua sektor akan dilaksana mulai 1 Jan 2020.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan itu mengambil kira aspek integrasi data serta kesediaan pihak kerajaan dan majikan di bawah sektor formal, khususnya pertanian dan pembuatan.

Bagi sektor perkilangan, Muhyiddin berkata, nisbah kebergantungan pekerja asing bagi mekanisme levi pelbagai peringkat yang dibenarkan adalah hanya sehingga 75%.

“Dalam perkara ini, sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keperluan majikan atau syarikat di sektor perkilangan yang menggaji pekerja asing melebihi nisbah dibenarkan secara kes demi kes.

“Ini bagi memastikan operasi syarikat berkenaan tidak terjejas khususnya bagi eksport barangan syarikat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu bersama Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran di sini semalam.

Menurut Muhyiddin, pelaksanaan mekanisme itu mempunyai beberapa bulan untuk melakukan segala persiapan secara terperinci, termasuk memaklumkan kepada pihak majikan mengenai levi pelbagai peringkat dan jumlah tenaga kerja yang boleh digaji oleh mereka.

“Setiap peringkat mempunyai levi berbeza. Semua cadangan jumlah bayaran levi itu dimasukkan di dalam laporan Jawatankuasa Bebas Pengurusan Pekerja Asing. Kita tidak boleh mendedahkan kerana laporan itu perlu mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu turut bersetuju supaya jawatan tukang masak, pembantu dapur dan pelayan restoran dibenarkan untuk digajikan di sub sektor restoran.

Sejak 1 Jan sehingga 20 Feb lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melaksanakan 2,182 operasi penguatkuasaan dan melalui operasi tersebut, JIM menahan 148 majikan dan 7,747 pendatang asing tanpa izin, katanya.

“Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) pula membuat 398 pendakwaan melibatkan 244 majikan sepanjang tempoh 1 Jan sehingga 31 Dis 2018. Selain itu, 422 kes melibatkan 316 majikan dikenakan kompaun.

“JTKSM turut mengeluarkan 4,677 notis pematuhan melibatkan 4,677 majikan yang gagal mematuhi Akta Kerja 1955,” katanya.