Pengumuman kepada Bursa hanya tawaran penjualan hotel, kata pejabat Mat Sabu
Setiausaha akhbar menteri pertahanan berkata Najib mungkin hanya membaca pengumuman Boustead tanpa membaca isi kandungannya.
Setiausaha Akhbar Amin Shah Iskandar berkata pengumuman yang dibuat oleh pemilik hotel, Boustead Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia pada 19 Februari lepas hanyalah tentang surat tawaran dan surat penerimaan berhubung penjualan hotel itu.
Amin menjawab kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook berbunyi: “Mat Sabu mungkin tidak tahu bahawa Boustead sudah buat pengumuan rasmi kepada Bursa Malaysia pada hari Selasa minggu lepas (19 Februari).
“Boustead mengesahkan mereka sudah menandatangani surat setuju terima dari syarikat Singapura itu. Wang deposit RM3.94 juta (2%) pun sudah masuk poket Boustead…Saya tidak mahu tuduh menteri pertahanan kita sedang menipu,” kata Najib.
Boustead Holdings merupakan syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Amin berkata Najib mungkin hanya membaca pengumuman Boustead kepada Bursa Malaysia tanpa membaca isi kandungannya sehingga menyebabkan bekas menteri kewangan itu gagal memahami sebab Pejabat Menteri Pertahanan menyatakan penjualan hotel masih belum dimuktamadkan.
Menurut Amin, pengumuman kepada Bursa Malaysia jelas menyatakan surat tawaran tertakluk kepada beberapa syarat termasuk pembeli diberikan masa eksklusif selama sebulan bermula 19 Februari lalu bagi melakukan penilaian dan kajian terperinci (due diligence) terhadap hotel.
Selain itu, cadangan pelupusan tersebut juga perlu mendapat kelulusan berkanun dan pengawalseliaan yang dikehendaki bawah undang-undang Malaysia dan Bursa Singapura.
“Jelaslah penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih lagi belum dimuktamadkan dan Najib dinasihatkan memberi tumpuan kepada kes-kes berkait rasuah yang sedang dihadapinya daripada terus-menerus menyebarkan berita palsu,” kata Amin.
Media sebelum ini melaporkan Boustead Holdings menerima tawaran firma Singapura, Hotel Royal Ltd untuk membeli Hotel Royale Chulan Bukit Bintang pada harga RM197 juta.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Susulan itu, Pejabat Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan menyatakan penjualan hotel tersebut belum dimuktamadkan dan masih dalam proses penilaian selain keutamaan diberikan kepada syarikat tempatan.