Perusuh mohon maaf, saran lapor polis selepas serang kereta, kata saksi inkues Adib

Chan Wei Jie (kiri) bersama pak ciknya, Wong Wah Kuan (kanan) menghadiri prosiding inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu inkues menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, sekumpulan perusuh memohon maaf dan mencadangkan beliau membuat laporan polis, selepas menyerang kereta dinaikinya di luar Kuil Sri Maha Mariamman, pada 27 November lalu.

Chan Wei Jie, saksi ke-19 inkues itu berkata, kereta dipandu pak ciknya yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di USJ 12, diserang lebih 10 perusuh menyebabkan lampu dan semua tingkap pecah.

“Lebih kurang 1.15 pagi, saya tersekat dalam keadaan jalan sesak. Saya lihat ada beberapa orang memukul trak dan van.

“Pada mulanya, mereka menyuruh kami memberhentikan kereta kerana pak cik saya mula menghidupkan enjin keretanya. Ada juga yang mengarahkan kami pergi.

“Kemudian saya keluar kerana cermin pecah akibat dipukul perusuh. Saya keluar nak bersihkan serpihan cermin dan duduk di tepi jalan, pak cik saya masih berada dalam kereta,” katanya menjawab pertanyaan pegawai pengendali, Fatin Hadni di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Chan berkata, selepas keluar dari kereta, seorang perusuh mengarahkan rakannya berhenti memukul kereta pak ciknya dan memohon maaf serta mencadangkan beliau membuat laporan polis.

“Bila saya mula berkomunikasi dengan pak cik saya, salah seorang daripada kumpulan (perusuh) itu menyuruh yang lain berhenti memukul kereta pak cik saya.

“Tidak pasti kenapa, tapi kami bercakap dalam bahasa Mandarin,” katanya sambil menambah mereka membuat laporan di Balai Polis USJ 15.

Koroner, Rofiah Mohamad kemudiannya menangguhkan prosiding inkues hari ini.

Ia akan disambung 19 Mac ini untuk timbalan pendakwa raya memfailkan afidavit di Mahkamah Rayuan petang ini dan menunggu afidavit permohonan badan bertindak Kuil Sri Maha Mariamman menggantung prosiding inkues itu.

Rofiah juga bersetuju menangguhkan prosiding hari ini kerana keterangan saksi ke-20 daripada pasukan simpanan persekutuan yang panjang memerlukan masa lebih daripada separuh hari.

Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di luar kuil Hindu itu pada 27 November lalu.

Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.