PH bereksperimen di PRK Semenyih

Bahang PRK DUN Semenyih semakin terasa dari hari ke hari. Pada hujung minggu ini kita akan menyaksikan pertembungan 4 penjuru melibatkan calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi; PSM, Nik Aziz Afiq; PPBM, Aiman Zainali dan bebas, Kuan Chee Heng.

Jadi antara keempat-empat calon ini agaknya siapakah akan berjaya memenangi hati rakyat di Semenyih? Sama-sama kita nantikan.

Namun apa yang mencuri tumpuan saya selepas hampir 2 minggu berlangsungnya kempen politik di Semenyih, saya dapat lihat PH seolah-olah cuba menjalankan eksperimen pada PRK kali ini.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas bermula dengan menamakan Aiman sebagai calon yang mewakili PPBM yang juga wakil PH. Apa yang dapat dilihat PH sengaja meletakkan Aiman sebagai calon atau lebih tepat lagi calon tangkap muat semata-mata untuk membuat eksperimen terhadap parti tersebut.

Sepanjang dua minggu kempen sahaja sudah memperlihatkan bahawa Aiman Zainali dijadikan sebagai bahan uji kaji sahaja. Lihatlah sepanjang minggu berkempen tidak habis-habis Aiman Zainali terpalit dengan bermacam-macam cerita.

Bayangkan, semasa berkempen dengan beraninya Aiman mengulang skrip yang sama dengan berjanji jika dia menang pada hujung minggu ini, keesokannya juga masalah penduduk Semenyih akan selesai. Tidak cukup dengan itu, Aiman juga sempat menghilangkan diri dan lari dari media. Kejadian ini berlaku semasa berkempen dan juga semasa pengundian awal dijalankan.

Malah dia juga berjanji kepada rakyat Semenyih bahawa apabila PH menang mereka akan menubuhkan hospital di Semenyih. Bagaimanapun hasrat ini mendapat reaksi negatif daripada rakyat dan Kementerian Kesihatan sendiri.

Selepas PH menyedari taktik tabur janji kepada rakyat tidak berjalan seperti yang diharapkan, jadi mereka terpaksa merangka strategi lain untuk menawan kembali hati rakyat. Oleh sebab itu, pada hari-hari terakhir berkempen mereka tidak berani lagi untuk menabur janji.

Sehubungan itu, untuk mendapatkan formula yang tepat untuk eksperimen tersebut, mereka menjalankan modus operandi berkempen dengan cara menabur persepsi kepada rakyat seperti mana yang digunakan semasa mereka menjadi pembangkang dahulu. Seperti biasa mereka akan membuka semula cerita yang sudah lama dan basi untuk dijadikan sebagai alat propaganda sekali gus berniat menanamkan persepsi negatif dalam minda rakyat terhadap parti BN.

Mungkin dengan cara ini sahaja mereka boleh menang mudah dan meraih semula kepercayaan rakyat. Jadi jika mereka mereka menang mudah di Semenyih mereka akan merasakan rakyat masih menerima mereka walau dalam apa keadaan sekali pun.

Jadi perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku begitu sahaja kerana kerajaan PH pastinya akan lebih angkuh dan mendabik dada serta akan terus membuli rakyat dari hari ke hari. Oleh kerana itu, rakyat perlu sebulat suara menolak kemaraan PH di Semenyih sebagai tanda protes dan mengagalkan segala rancangan mereka supaya mereka dapat kembali berkhidmat untuk rakyat.

Dhia Hani ialah ialah penyelidik Persatuan Pemikir Muda Johor.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.