Reman 2 suspek sindiket kerja Kemboja dilanjut 3 hari

Anggota polis membawa suspek wanita ke Mahkamah Majistret Kuching hari ini untuk permohonan lanjutan reman. (Gambar Bernama)

KUCHING: Tempoh reman 2 lagi suspek kes penipuan tawaran pekerjaan sehingga mengakibatkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Kemboja baru-baru ini, dilanjutkan 3 hari lagi sehingga 4 Mac.

Permohonan lanjutan reman ke atas suspek lelaki dan wanita tempatan masing-masing berumur 35 tahun itu dibuat Majistret, Mohd Shukri Mokhtar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kedua-dua suspek itu ditahan di 2 rumah berasingan di Traffic Garden dan Taman Chung Hua di sini, Ahad lalu.

Sementara itu, tempoh reman seorang suspek dalam tangkapan pertama sindiket pekerjaan itu turut dilanjutkan 3 hari sehingga 3 Mac di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Permohonan perintah reman itu dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah Ahad lalu, untuk melanjutkan siasatan terhadap lelaki tempatan berusia 35 tahun itu yang ditahan di rumahnya pada 23 Februari lalu.

Sehingga kini, 23 mangsa, iaitu 18 lelaki dan 5 wanita tampil membuat laporan polis berhubung kes ini.

Semua 47 rakyat Malaysia, termasuk 40 dari Sarawak yang dibebaskan dari penjara Wilayah Banteay Meanchey di Kemboja, tiba di tanah air pada 17 Februari lalu.