Sarawak Report sahkan Hadi bayar RM1.4 juta selesai kes saman

PETALING JAYA: Sarawak Report hari ini mengesahkan dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang Abdul Hadi Awang membayar RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle-Brown sebagai sebahagian penyelesaian luar mahkamah bagi saman fitnah yang difailkan di London.

Ini susulan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang menafikan dakwaan Anwar dengan berkata, penyelesaian itu tidak melibatkan apa-apa pertimbangan kewangan.

“Tidak ada dokumen yang menunjukkan Sarawak Report tidak dibayar. Sebaliknya kami mempunyai banyak bukti yang menunjukkan kami dibayar oleh ejen Abdul Hadi bagi membolehkan beliau menarik balik tuntutannya,” lapor portal pemberi maklumat itu.

Portal itu berkata, ia terpaksa mendedahkan maklumat penyelesaian itu selepas pemimpin PAS menafikan laporan media bahawa pembayaran itu benar-benar berlaku.

“Dalam proses tersebut, mereka melanggar terma penyelesaian yang mereka sendiri kenakan, iaitu tidak membincangkan terma penyelesaian.

“Justeru, Sarawak Report berhak mendedahkan perkara sebenar kepada rakyat Malaysia dan berharap ini akan memuktamadkan perkara ini.”

Laman web itu juga menerbitkan gambar sekeping cek Bank Islam bernilai RM1.422,980 atas nama Clare.

Wang itu bertujuan membayar kos guaman Clare bagi mencabar saman Hadi.

Berhubung bagaimana Anwar tahu tentang perkara tersebut, Sarawak Report memberitahu, ia berdasarkan sepucuk surat Clare kepada Malayan Banking Bhd mengesahkan beliau mengarahkan peguamnya memindahkan RM1.4 juta ke akaunnya di Barclays Bank di London dengan wang itu ditukarkan kepada 260,000 pound British.

Anwar sebelum itu berkata, beliau mempunyai bukti Hadi terpaksa membayar wang kepada wartawan British itu bagi menghentikan saman fitnahnya.

“Apakah ada bayaran yang diberi kepada Clare daripada PAS? Lebih daripada sejuta?Boleh tak sahkan?” katanya di Pulau Pinang, Selasa lepas.

Hadi memfailkan saman terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London berhubung artikel dalam Sarawak Report pada Ogos 2017 yang mendakwa pemimpin kanan PAS mungkin menerima RM90 juta daripada bekas perdana menteri dan presiden Umno, Najib Razak.

Januari lepas, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan saman itu di luar mahkamah.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memulakan siasatan ke atas dakwaan pemimpin PAS menerima wang dikaitkan dengan 1MDB.

Minggu lepas, SPRM berkata, ia belum menemui bukti transaksi sedemikian ke dalam akaun PAS.