Warkah Dr M kepada pengundi: Pilih PH di Semenyih, rakyat tidak disia-siakan

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad merayu pengundi memilih calon Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil DUN Semenyih yang berlangsung esok, sambil berjanji mandat mereka tidak akan disia-siakan.

Pengerusi PH itu berkata, calon PH Muhammad Aiman Zainali akan beri perkhidmatan lebih berkesan kepada penduduk kawasan tersebut.

“Ini termasuk menyuarakan hasrat penduduk Semenyih mengenai keperluan pembangunan infrastruktur, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, kebajikan, pekerjaan, pertanian dan kemajuan ekonomi setempat untuk perhatian serta tindakan lanjut oleh kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga merayu pengundi keluar beramai-ramai esok dan mengundi calon PH.

“Sama-sama kita teruskan untuk pulihkan negara dan memelihara kebajikan rakyat,” kata beliau.

Mahathir berkata, PRK DUN Semenyih tidak membawa perubahan kepada kerajaan, tetapi percaya pengundi matang dan akan memilih wakil rakyat yang bersih, cekap, amanah dan berintegriti untuk memberi khidmat.

Beliau berkata, dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, pengundi Semenyih memilih calon PH dan hasilnya, pemerintahan Barisan Nasional dapat ditumbangkan.

Katanya, dalam tempoh 9 bulan PH mentadbir negara, pelbagai usaha dilakukan untuk memulihkan keadaan negara dan kebajikan rakyat.

Ini termasuk melaksanakan inisiatif mengurangkan kos sara hidup serta membetulkan tadbir urus negara dan menghapuskan rasuah.

DUN Semenyih mempunyai 54,503 pemilih berdaftar merangkumi 53,520 pengundi biasa, 951 pengundi awal dan 32 pengundi tidak hadir luar negara.

Semenyih menyaksikan pertandingan 4 penjuru membabitkan Aiman, Zakari Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.