Aiman hanya jawab soalan wartawan, bukannya berkempen, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata, calon BN turut melakukan perkara sama seperti calon PH, selepas beliau selesai mengundi pagi tadi.

KAJANG: Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mempertahankan calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali yang didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana cuba meraih undi selepas tamat tempoh berkempen pilihan raya kecil Semenyih.

Katanya, Aiman sekadar menjawab soalan wartawan dan tidak ramai pengundi Semenyih berada di tempat kejadian ketika itu.

“Bukan soal sedar, tidak sedar adakah dia sudah membuat kesalahan. Kalau dia bercakap sekali pun, bukan orang Semenyih banyak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang hari ini.

Terdahulu, pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 dilaporkan berkata, Aiman melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana berkempen selepas tamat tempoh, walaupun ketika bercakap kepada wartawan yang juga dianggap orang ramai.

“Dan saya harap pengundi buat pilihan yang bijak, dapat memberi kebaikan kepada rakyat Semenyih dan insya Allah saya harap mereka semua undilah Pakatan Harapan, undilah Aiman Zainali,” katanya kepada pemberita selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, pagi tadi.

Muhyiddin berkata, calon Barisan Nasional turut melakukan perkara sama selepas beliau selesai mengundi pagi tadi.

“Saya dengar pihak sana pun ada lakukan. Siap ada video lagi di saat hujung, (sebut) undi saya, undi saya, undi saya. Salah tak?” soalnya.

Katanya, beliau menyerahkan perkara itu untuk disiasat Suruhanjaya Pilihan Raya.