Bersih 2.0 kecewa calon PH, BN, langgar undang-undang pilihan raya di Semenyih

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann menggesa saksi membuat laporan polis dan menyerahkannya kepada badan itu untuk tindakan lanjut.

SEMENYIH: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini menyatakan kekecewaan badan itu kerana kedua-dua calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didapati tidak mematuhi undang-undang dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang sedang berlangsung hari ini.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata, calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan calon BN Zakaria Hanafi, telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 1954 kerana berkempen selepas tamat tempoh berkempen tengah malam tadi.

Thomas berkata, ketidakpatuhan itu mungkin berpunca daripada kegagalan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara mengambil tindakan ke atas kesalahan yang dilakukan dalam PRK sebelum ini.

Beliau merujuk kepada laporan yang mengatakan Aiman dan Zakaria menggesa pengundi supaya menyokong parti masing-masing selepas kedua-dua calon itu selesai membuang undi mereka.

“Kami sangat kecewa kedua-dua calon PH dan BN kelihatan tidak mempedulikan undang-undang pilihan raya,” katanya kepada FMT ketika dihubungi.

“Kami meminta saksi kesalahan ini, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), supaya membuat laporan polis dan serahkannya kepada Bersih bagi membolehkan kami memantau keadaan sama ada tindakan boleh diambil atau sebaliknya,” kata beliau.

Sebelum ini, Aiman ketika bercakap kepada pemberita berkata, beliau berharap pengundi akan menyokong PH, sementara calon BN, Zakaria dilaporkan mengucapkan “undi BN” di pusat mengundi di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan mendakwa PH dan BN “secara terang-terangan melanggar” Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan berkempen secara terbuka di luar pusat mengundi.

Beliau juga mendakwa PH memberi makanan berdekatan dengan pusat mengundi Sin Ming, sementara penyokong BN berhampiran pusat mengundi SMK Engku Husain meminta orang ramai mengundi calon mereka.

Mengikut Sekysen 26(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 tiada sesiapa dibenarkan berkempen kepada orang ramai pada hari mengundi.

Seksyen 26(2) pula menyebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen berkaitan boleh dipenjarakan tidak lebih 1 tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru antara Muhammad Aiman (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.