BN dahului PRK Semenyih

KAJANG: Barisan Nasional yang sedang mendahului pilihan raya kecil Semenyih dengan 2,222 undi, dalam laluan untuk memenangi PRK ke-2 sejak pilihan raya umum ke-14 lalu.

Zakaria Hanafi mendapat 16,636 undi berbanding Muhammad Aiman Zainali yang meraih 14,414 undi, selepas lebih separuh daripada kertas undi dikira setakat 7.30 malam tadi.

Calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul pula mendapat 673 undi dan calon bebas, Kuan Chee Heng memperoleh 601 undi.

Sebanyak 100 daripada 120 peti undi sudah diterima Suruhanjaya Pilihan Raya di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, setakat ini.

SPR berkata, peratusan keluar mengundi mencecah 73.3% selepas proses pengundian berakhir 5.30 petang tadi di 24 pusat mengundi.

Seramai 53,411 pengundi biasa layak mengundi hari ini dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.