Bukan sahaja Bersih perlu lapor kesalahan pilihan raya, kata SPR

Pengerusi SPR, Azhar Harun.

SEMENYIH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengalu-alukan mana-mana pihak, sama ada badan pemantau pilihan raya atau orang ramai, termasuk pemberita, untuk membuat laporan mengenai kesalahan yang dilakukan dalam pilihan raya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, bukan sahaja Bersih 2.0 perlu membuat laporan mengenai kesalahan yang dilakukan, tetapi sesiapa sahaja yang mempunyai bukti kukuh mengenai kejadian.

“Sesiapa sahaja boleh buat laporan, bukan Bersih sahaja. Pemberita juga boleh buat laporan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Rincing, di sini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya apakah tindakan yang akan diambil oleh SPR selepas Bersih 2.0 mengeluarkan kenyataan akan membuat laporan polis berhubung kesalahan berkempen pada hari pengundian oleh kedua-dua calon Pakatan Harapan (PH) dan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung hari ini..

Sebelum ini, FMT melaporkan calon PH Muhammad Aiman Zainali menggesa pengundi untuk mengundi dirinya untuk kebaikan rakyat Semenyih.

“Dan saya harap pengundi buat pilihan yang bijak, dapat memberi kebaikan kepada rakyat Semenyih dan insha Allah saya harap mereka semua undilah Pakatan Harapan (PH).

“Undilah Aiman Zainali,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Menengah Engku Husain.

Berikutan itu, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, Muhammad Aiman telah secara langsung melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggesa pengundi supaya mengundi dirinya dan kerajaan yang memerintah selepas tamat tempoh berkempen.

Dalam perkembangan sama, Thomas juga menyuarakan kekecewaan badan itu, apabila calon BN, Zakaria Hanafi juga dilaporkan menggesa pengundi supaya mengundi parti yang diwakilinya apabila mengucapkan “undi BN” selepas beliau selesai mengundi di pusat mengundi di Kampung Sesapan Kelubi, Beranang.

Azhar berkata, sekiranya dakwaan Bersih 2.0 mengenai pelanggaran undang-undang pilihan raya oleh kedua-dua calon PH dan BN itu benar, maka mereka telah melakukan kesalahan.

“Anda tidak boleh berkempen hari ini, selepas tengah malam semalam,” katanya.

Sekysen 26(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan tiada sesiapa dibenarkan berkempen kepada orang ramai pada hari mengundi.

Seksyen 26(2) pula menyebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen berkaitan boleh dipenjarakan tidak lebih 1 tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Azhar berkata, calon tidak boleh memberitahu media supaya mengundi mereka walaupun sekiranya mereka ditanya soalan yang menjurus kepada jawapan tersebut.

“Jangan tanya mereka siapakah yang patut pengundi undi. Mereka akan jawab begitu (dengan berkata undilah saya,” katanya.

Pengarah eksekutif Bersih 2.0 Yap Swee Seng membuat laporan polis berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang oleh calon PH dan BN, selain kegiatan berkempen di pondok panas dan di luar pusat mengundi.

Laporan itu dibuat berdasarkan pemerhatian pemerhati badan tersebut yang ditempatkan di sekitar Semenyih hari ini.

Yap, yang bercakap kepada media di ibu pejabat polis Daerah (IPD) Kajang selepas itu berkata, tiada perbezaan jelas yang menunjukkan sama ada kesalahan yang dilakukan itu adalah kesalahan besar atau kecil (minor).

Katanya, kesalahan yang disebut di dalam akta tersebut adalah terlalu umum dan tidak menunjukkan perbezaan sebagai penentu sama ada sesuatu kesalahan itu patut dikategorikan sebagai kesalahan serius atau sebaliknya.

“Saya rasa pada masa-masa akan datang, SPR boleh mempertimbangkan untuk mengkaji semula kesalahan yang terkandung dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kesalahan yang jelas melanggar undang-undang pilihan raya akan menyebabkan seseorang calon itu tersingkir.

Jelasnya, hukuman kepada seseorang haruslah setimpal dengan darjah kesalahan yang dilakukan.

“Ini kerana hukuman perlulah setimpal dengan tahap serius kesalahan yang dibuat,” katanya.

Yap memberitahu, Bersih 2.0 membuat 4 laporan polis melibatkan perbuatan mendirikan ‘pondok panas’ di pusat mengundi dan berkaitan kenderaan yang membawa penyokong untuk mengundi.

“Pertama, laporan mengenai (perbuatan) mendirikan pondok panas oleh kedua-dua parti, PH dan BN, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Rincing.

“Manakala yang lain atas sebab kenderaan parti yang menghantar penduduk dan penyokong untuk mengundi hingga ke hadapan rumah,” katanya.

PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru antara Muhammad Aiman (PH), Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.

Terdapat 53,520 pemilih biasa dengan 109 pengundi pos di DUN ini, menjadikan jumlah yang layak mengundi hari ini ialah 53,411 orang. Pengundian awal bagi PRK ini diadakan Selasa lepas.

Proses pengundian akan berakhir pada jam 5.30 petang hari ini, sementara keputusannya dijangka diketahui pada 10 malam.