Calon PH, BN ‘sombong’ abai undang-undang, kata calon bebas

Calon PH, Muhammad Aiman Zainali (kiri) dan calon BN, Zakaria Hanafi meminta pengundi menyokong mereka dan parti masing-masing secara terbuka, pagi tadi.

SEMENYIH: Calon bebas dan Parti Sosialis Malaysia bagi pilihan raya kecil Semenyih membidas pencabar dari Pakatan Harapan serta Barisan Nasional yang didakwa melakukan kesalahan pilihan raya, hari ini.

Calon bebas, Kuan Chee Heng menyifatkan 2 calon itu “sombong”, manakala Nik Aziz Afiq Abdul daripada PSM berkata, “perkara asas” ialah “tidak berkempen pada hari mengundi”.

Ini selepas pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 dilaporkan mengkritik calon PH, Muhammad Aiman Zainali dan calon BN, Zakaria Hanafi yang meminta pengundi menyokong mereka dan parti mereka secara terbuka.

Bersih 2.0 berkata, Aiman melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana berkempen selepas tamat tempoh, walaupun ketika bercakap kepada wartawan yang juga dianggap orang ramai.

“Dan saya harap pengundi buat pilihan yang bijak, dapat memberi kebaikan kepada rakyat Semenyih dan insya Allah saya harap mereka semua undilah Pakatan Harapan, undilah Aiman Zainali,” kata Aiman kepada pemberita selepas membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, pagi tadi.

Calon bebas, Kuan Chee Hong

Zakaria pula dilaporkan meminta pengundi mengundi BN dan “orang kampung” sepertinya.

Kuan yang lebih dikenali sebagai “lelaki 10 sen” atau “Uncle Kentang”, berkata tindakan Zakaria dan Aiman jelas ialah kes merayu undi.

“Tempoh berkempen berakhir tengah malam tadi dan mereka semua masih berkempen. Saya tidak tahu apa masalah dengan mereka.

“Mereka berlagak sombong dan menunjukkan mereka tidak menghiraukan peraturan,” kata dermawan itu.

“Biar SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) siasat. Mereka mungkin hilang kelayakan kerana ini, kita tak tahu.

“Saya rasa PSM sudah membuat aduan sama. Jadi, ini ialah sesuatu yang SPR perlu siasat sekarang.”

Ditanya jika beliau menjangkakan lebih banyak undi untuknya dan bukan bagi calon BN serta PH kerana tindakan itu, Kuan berkata, beliau menerima nasibnya.

“Saya tahu saya tidak akan menang pilihan raya ini. Tetapi, saya memenangi lebih banyak hati (rakyat daripada calon lain),” katanya sambil ketawa.

Terdahulu, Kuan dilapor menjangkakan lebih 500 undi baginya dan hilang depositnya.

Calon akan kehilangan deposit RM5,000 yang dibayar kepada SPR bagi kerusi DUN, jika mereka gagal mendapat 1/8 daripada jumlah undi dalam pilihan raya.

Nik Aziz

Sementara itu, Nik Aziz yang juga pemilik perniagaan urut tradisional dan aktivis PSM, terkejut dengan calon BN yang turut didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Yalah, kita pun rasa pelik dan benda ini tidak sepatutnya dilakukan oleh calon-calon dan kita lihat bila calon sendiri gagal mematuhi peraturan SPR, ini telah menyebabkan penyokong mereka pun gagal untuk patuhi peraturan SPR.

“SPR menetapkan tiada (tindakan) meraih undi, tiada pondok panas, tapi semua tempat kita lawat hari ini, semuanya ada benda yang sama. Jadi, kita harap SPR betul2 memainkan peranan yang tegas,” katanya kepada FMT.

Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan kenapa beliau fikir perkara itu berlaku, tetapi hanya berkata ini “perkara asas yang perlu tahu”.

Katanya, ini cara untuk PSM menang dengan majoriti lebih banyak.

“Sebelum ini, kami jangkakan peratusan yang rendah, tapi sekarang peratusan yang tinggi. Jadi, sekarang ada harapan untuk realisasikan cita-cita kami.”