Exco: Johor tolak rancangan bina Universiti Muhammadiyah

Universiti Muhammadiyah memiliki lebih 10,000 warga pendidik yang mengelola 173 kampus di seluruh Indonesia.

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Johor menolak rancangan membina Universiti Muhammadiyah Prof Dr Hamka (Uhamka) di Pagoh sebagai salah satu cawangan hab pendidikan tinggi di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan negeri bersetuju bahawa wujud perbezaan dari segi kepercayaan dan keharusan amalan seperti sambutan Maulidur Rasul, membaca doa qunut semasa salat subuh, membaca tahlil dan talkin.

“Secara umum ada perbezaan amalan berbeza sedikit dengan kita di sini. Sebab berlainan amalan, maksudnya dia (Muhammadiyah) tidak membaca doa qonut dan tahlil.

“Kita beranggapan dia akan membawa amalan dan fahaman mereka. Sebab itu saya dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) rasa ia tidak sesuai di Johor. Kita mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti wirid, talkin dan membaca doa qunut,” katanya kepada FMT.

Beliau juga berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan MAINJ bulan lalu yang menolak rancangan membina Universiti Muhammadiyah di negeri itu.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, fatwa yang dikeluarkan oleh Muhammadiyah adalah bercanggah dengan dengan fatwa di negeri Johor.

Baginda dilaporkan memaklumkan bahawa percanggahan itu antaranya adalah dari segi kepercayaan dengan Muhammadiyah berpegang kepada pegangan bahawa Allah mempunyai jisim dan bertempat ketika mentafsirkan ayat al-Quran dan hadis yang bersifat “mutasyabihat” (kesamaran).

Sultan Ibrahim juga berkata, kepercayaan umat Islam di Johor adalah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang menafikan Allah berjisim dan bertempat.

Anggota Exco negeri Johor, Aminolhuda Hassan.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003 memperuntukkan MAINJ sebagai pihak berkuasa utama agama Islam di negeri itu selepas Sultan, manakala Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor adalah sebagai jawatankuasa yang memutuskan hal-hal berkaitan hukum syarak.

Sultan Ibrahim berkata, dalam perkara melibatkan kursus pengajian dan apa-apa perkara yang berhubung kait dengan agama Islam, maka pihak terbabit perlu merujuk kepada MAINJ dan seterusnya mendapat perkenan Sultan Johor selaku ketua agama Islam negeri terlebih duhulu.

Keputusan itu, kata Sultan Ibrahim, dibuat selepas melakukan penelitian sedalam-dalamnya bagi mengelakkan kekeliruan, perbalahan dan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Pada 18 Julai tahun lepas, akhbar Utusan Malaysia melaporkan Menteri Pendidikan Maszlee Malik menyokong cadangan pembinaan kampus luar negara pertama universiti itu di Malaysia.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata, beliau juga bersetuju dengan kenyataan Sutan Ibrahim yang menolak rancangan membina universiti berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Maszlee dalam masa terekat bagi membincangan isu itu.

“Kita memang nak jumpa Maszlee sebelum ini, tetapi tidak ada masa lagi. Kita sudah berhubung dengan pihak Maszlee dan satu pertemuan akan diadakan. Cuma masa belum diputuskan lagi. Akan dimaklumkan (kemudian),” katanya.

Aminolhuda berkata, rancangan membina Universiti Muhammadiyah itu dimaklumkan oleh Maszlee kepada kerajaan negeri, tetapi tidak secara terperinci seperti persoalan kos pembinaan atau mata pelajaran yang akan ditawarkan.

“Setakat ini, tidak ada dimaklumkan mengenai sillibus yang hendak ditawarkan berhubung rancangan membina universiti tersebut.”

Ketika ini, Universiti Muhammadiyah memiliki lebih 10,000 warga pendidikan yang mengelola 173 kampus di seluruh Indonesia yang terdiri daripada 45 universiti dan selebihnya adalah sekolah menengah, akademi dan politeknik.