Gesa pengundi undi PH, dirinya, Aiman Zainali langgar Akta Kesalahan Pilihan Raya, kata Bersih

Calon PH, Muhammad Aiman Zainali menunjukkan jarinya yang bertanda dakwat selepas mengundi dalam PRK Semenyih sebentar tadi.

SEMENYIH: Pemantau pilihan raya, Bersih 2.0 hari ini berkata, calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali telah secara lansung melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menggesa pengundi supaya mengundi dirinya dan kerajaan yang memerintah selepas tamat tempoh berkempen.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann ketika dihubungi mengesahkan kata-kata Muhammad Aiman melanggar akta tersebut kerana berkempen selepas tamat tempoh walaupun beliau bercakap kepada pemberita yang juga dianggap sebagai orang ramai.

“Mengikut Sekysen 26(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan dengan jelas bahawa tiada sesiapa yang dibenarkan berkempen kepada orang ramai pada hari mengundi,” kata Thomas kepada FMT.

Sebelum itu, Aiman ketika bercakap kepada pemberita berkata, pengundi haruslah membuat pilihan bijak dengan memilih dirinya untuk kebaikan rakyat di kawasan itu.

“Dan saya harap pengundi buat pilihan yang bijak, dapat memberi kebaikan kepada rakyat Semenyih dan insha Allah saya harap mereka semua undilah Pakatan Harapan (PH).

“Undilah Aiman Zainali,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Menengah Engku Husain, di sini, hari ini.

Seksyen 26(2) menyebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen berkaitan boleh dipenjarakan tidak lebih 1 tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Muhammad Aiman hadir ke pusat mengundi di sekolah tersebut diiringi isteri, Nurul Filzah Bakthiar.

Dalam perkembangan berkaitan, ahli jawatankuasa pusat PSM, S Arutchelvan, yang juga merupakan pengurus kempen parti itu di Semenyih mendakwa PH dan Barisan Nasional (BN) “secara terang-terangan melanggar” Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan berkempen secara terbuka di luar pusat mengundi.

Beliau juga mendakwa PH memberi makanan berdekatan dengan pusat mengundi Sin Ming, sementara penyokong BN berhampiran pusat mengundi SMK Engku Husain meminta orang ramai mengundi calon mereka.

Arutchelvan berkata, beliau bercakap kepada pegawai SPR yang “hanya mengambil gambar tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan atau menegur mereka”.

“PSM berpegang pada pilihan raya yang bebas, adil dan bersih. Kami berhenti berkempen pada tengah malam dan mengarahkan ahli serta sukarelawan kami supaya mematuhi undang-undang.

“Malangnya kejadian yang berlaku hari ini sangat mengecewakan. SPR tidak dapat berbuat apa-apa. Ini sangat berlawanan dengan semangat Malaysia Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

PRK DUN Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru antara Aiman dengan calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi; Nik Aziz Afiq Abdul (PSM) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.