Harga getah dijangka kekal momentum menaik minggu depan

Minggu lepas, pasaran getah diniagakan lebih tinggi, disokong oleh pasaran niaga hadapan serantau, penyusutan ringgit, peningkatan harga minyak dan mesyuarat ITRC.

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan trend kenaikan pada minggu depan berikutan prospek yang lebih positif, di samping ransangan oleh kebimbangan bekalan yang terhad, peningkatan harga minyak serta Mesyuarat Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) yang dijadualkan dalam minggu yang sama.

Menurut seorang peniaga, prospek jangka pendek yang menarik berikutan kemarau di Malaysia dan Thailand akan menyebabkan bekalan menjadi lebih terhad.

“Ini menyediakan sentimen kenaikan di pasaran, dan di samping itu, pegawai dari negara anggota ITRC akan bermesyuarat di Thailand pada minggu depan untuk memuktamadkan Skim Muatan Tanan Eksport Dipersetujui bagi mengurangkan eksport,” katanya.

Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya lebih tinggi, disokong oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang lebih baik, penyusutan ringgit berbanding dolar AS, peningkatan harga minyak dan mesyuarat ITRC.

Atas dasar Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 menokok sebanyak 25.5 sen kepada 599.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 16.0 sen kepada 438.5 sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang bagi SMR 20 naik 18.0 sen kepada 600.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal adalah 24 sen lebih kukuh pada 450.5 sen sekilogram.

Harga getah mencecah paras paling tingginya sejak Disember 2018 pada hari Jumaat.