Iktibar untuk PH selepas kalah PRK Semenyih

Pilihan raya kecil Semenyih berkesudahan dengan kemenangan yang berpihak kepada Umno/Barisan nasional.

Sekejap tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan PRK Semenyih seperti berikut:

PPBM/Pakatan Harapan
Muhammad Aiman Zainali
17,866 undi

Umno/BN
Zakaria Hanafi
19,780 undi

Parti Sosialis Malaysia
Nik Aziz Afiq Abdul
847 undi

Bebas
Kuan Chee Heng (Uncle Kentang)
725 undi

Jumlah pengundi:
Melayu 67.71%
Cina 16.69%,
India 13.73 %
Lain-lain 1.86%

Undi rosak: 650 undi
Peratus keluar mengundi: 73.24%
Majoriti: 1,914 undi

Perbandingan sepintas lalu dengan keputusan pilihan raya umum ke-14.

Jumlah pengundi: 53,257
Undi rosak: 546 undi
Peratus keluar mengundi: 87.90%
Majoriti: 8,964 undi

Umno/BN
Johan Abd Aziz
14,464 undi

PPBM/PH
Bakhtiar Mohd Nor
23,428 undi (Menang)

PSM
S Arutchelvan
1,293 undi

PAS
Mad Shamour Mad Kosim
6,966 undi

Jika kita menolak undi yang diperolehi PAS pada PRU14, maka kelebihan PH kurang daripada 2,000 undi.

Johan memenangi PRU13 dengan majoriti 4,757 undi.

Apakah keputusan PRK Semenyih hari ini sudah dijangkakan atau di luar jangkaan?

Pengulas dan pemerhati memperakui sejak awal lagi PRK Semenyih sengit dan getir bagi PH dan BN.

Pun begitu, kebanyakan mereka meramalkan dengan tepat BN akan menang tipis.

Shahrir Abdul Samad, pemimpin kanan Umno dalam temubual dengan The Star baru-baru menyebut PRK Semenyih tidak semudah PRK Cameron Highlands.

Redzuan Md Yusof, pemimpin kanan PPBM pula mengakui pada awalnya peluang PH untuk menang agak mencabar, tetapi perkembangan dan sokongan pengundi pada hari-hari terakhir kempen membuatnya lebih optimistik.

Kajian paling terperinci dibuat Ilham Centre. Mengikut dapatan kajian yang dilakukan secara bersemuka membabitkan 378 responden meliputi semua segmentasi kaum, jantina dan umur pengundi serta lokaliti di DUN Semenyih, Ilham membuat kesimpulan Umno/BN akan meraih kemenangan di Semenyih.

Jadi, pada keseluruhannya bolehlah kita katakan keputusan PRK Semenyih menepati ramalan awal pemerhati politik, termasuk badan kajian seperti Ilham. Ertinya, keputusan tersebut tidaklah mengejutkan kita yang mengikuti perkembangan politik negara dengan penuh prihatin.

Perlu diperkatakan di sini, kebanyakan pengulas dan pemerhati politik menganggarkan majoriti diperolehi BN tidak akan melebihi 1,000 undi.

Hakikat BN mendapat majoriti hampir 2,000 undi adalah sesuatu di luar jangkaan. Ianya wajar dikaji dengan teliti, khususnya oleh PH mengapa begitu ketara pengundi menolak mereka!

Faktor mempengaruhi keputusan

Mengikut hemat penulis, antara faktor utama mempengaruhi keputusan hari ini seperti berikut:

1. PH gagal mempertahankan undi Melayu. Undi Cina dan India kekal.

PH dilihat gagal mempertahankan undi Melayu yang mereka perolehi pada PRU14. Sejak awal lagi, ramai yang memperhitungkan faktor ini akan menjadi penentu kemenangan atau kekalahan PH.

Keputusan PRK Semenyih membawa erti dan maksud ramai pengundi Melayu yang menyokong PH dahulu, sudah kembali menyokong Umno/BN.

2. Strategi PH kurang mantap

Strategi PH juga dikira kurang mantap dan berkesan. Mereka memilih calon muda yang tiada pengalaman politik, terjebak dengan masalah kelayakan akademik meragukan dan sering membuat kenyataan kurang matang. Calon lawan berumur 50 tahun dan berpengalaman dalam politik.

3. Isu nasional mempengaruhi sikap pengundi

Keadaan ekonomi dan kos sara hidup tinggi dan kian melambung terus menghantui sikap serta sentimen pengundi. Kegagalan PH menunaikan janji PRU14 membuat rakyat terkilan dan kecewa. PH memberi dan membuat terlalu banyak janji manis yang akhirnya memakan diri.

Integriti beberapa pemimpin PH yang membuat dakwaan palsu atau meragukan tentang kelayakan akademik mereka turut dipersoalkan. Perbalahan dan pergeseran sesama sendiri dalam parti komponen PH yang tak berkesudahan juga menjengkelkan rakyat.

4. Kerjasama Umno-PAS membuahkan hasil

Kerjasama Umno dan PAS membawa hasil baik kepada mereka. Walaupun PAS membuat ragam pada awalnya dengan cuba bermain politik dengan Dr Mahathir Mohamad, tetapi secara keseluruhannya, mereka dapat mengekalkan kerjasama baik antara satu sama lain sepanjang tempoh berkempen.

Kerjasama ini menjanjikan sesuatu yang perlu dibina dan diperkasakan kedua-dua parti itu, jika mereka
mahu memberi cabaran sengit dan getir kepada PH sehingga PRU15.

5. Faktor ‘Bossku’

Najib Razak terus mendampingi rakyat dan pengundi Semenyih. Daripada reaksi serta sambutan kepadanya, ternyata “Bossku” bukan sahaja popular di kalangan rakyat, tetapi turut diterima mereka.

Mengikut hemat ramai penulis, “Bossku” adalah pemimpin gagasan Umno/BN-PAS yang paling popular di Semenyih.

Erti keputusan PRK Semenyih kepada percaturan politik negara

PH perlu bermuhasabah diri dan membaiki diri serta meningkatkan prestasi.

PH perlu mengakui kegagalan mereka memenuhi janji pilihan raya, menangani masalah ekonomi dan kos sara hidup tinggi serta kian melambung, perbalahan dalaman dan menteri Kabinet yang lembab serta bermasalah.

Pengubal manifesto PRU14 PH begitu amatur, tidak bijak dan kurang pengalaman dengan memberikan pelbagai janji yang sukar ditunaikan. Akhirnya, janji manis ini memakan diri.

Di samping itu, wujud rasa tidak puas hati meluas di kalangan rakyat jelata, khususnya dalam masyarakat Melayu yang merasakan kerajaan PH gagal melindungi kepentingan Melayu dan kedudukan agama Islam di negara.

Kerajaan PH dilihat terlalu tunduk kepada tekanan parti atau pemimpin parti komponen bukan Melayu atau Islam.

Langkah seterusnya

Kekalahan PH di PRK Semenyih akan memberi suntikan semangat kuat kepada Umno/BN-PAS dalam perjuangan mereka menumbangkan PH pada PRU15.

Ianya menjadi kemenangan moral yang akan memberi modal besar kepada mereka untuk mendakwa PH sudah kehilangan kepercayaan dan keyakinan rakyat jelata. Mereka akan terus mendesak dan mengasak agar rakyat terus menolak PH.

Bagaimanapun, kekalahan PH di Semenyih tidak bererti segala-segalanya sudah berakhir untuk gabungan itu. Malah, ianya boleh menjadi hikmah tersembunyi kepada PH, jika ianya diterima dengan sikap positif.

Jika ianya dapat diterima PH sebagai amaran awal untuk mereka bermuhasabah dan membaiki diri, maka ianya boleh menjadi pencetus untuk parti komponen serta pemimpin mereka lebih prihatin, akur dan insaf dengan tuntutan rakyat.

Semasa PH kalah di PRK Cameron Highlands, mereka mungkin mengambil sikap ia sesuatu yang tidak mengejutkan, setelah mengambil kira sejarah dan kedudukan kerusi Parlimen itu.

Mereka mengalihkan perhatian kepada PRK Semenyih yang mereka kata akan memberi gambaran sebenar tahap sokongan rakyat jelata.

Jadi, sekarang pengundi Semenyih sudah membuat pilihan dan jika ianya memberi gambaran lebih tepat tentang sentimen rakyat, maka sudah tiba masanya untuk PH membuka mata, menerima hakikat dan mengakui realiti politik semasa serta bertindak untuk menangani dan mengatasi masalah ini.

Wan Haron Wan Hassan ialah peguam dan aktif dalam gerakan masyarakat sivil.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.