Kekalahan di Semenyih peringatan buat PH, kata Tian Chua

Tian Chua berkata, PH perlu bekerja keras untuk memastikan rakyat terus menyokong gabungan itu.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, kekalahan Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil Semenyih mungkin ialah cara rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan yang terlalu lambat melaksanakan pembaharuan dijanjikan.

Katanya, kemenangan Barisan Nasional di PRK Semenyih menunjukkan rakyat bijak menggunakan kuasanya untuk memberi mesej dan peringatan kepada PH.

“Semenyih ialah kubu kuat BN. Rakyat Malaysia bijak menentukan arah tuju politik melalui pilihan raya.

“Maksudnya (kita) perlu kerja kuat, pastikan sokongan kuat kekal dengan kami selepas ini,” katanya kepada FMT malam ini.

BN berjaya merampas kerusi DUN Semenyih daripada PH dengan majoriti 1,914 undi, PRK ke-2 yang dimenangi bekas parti pemerintah itu sejak kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum lalu.

Zakaria Hanafi yang mendapat 19,780 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Muhammad Aiman Zainali yang meraih 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon bebas, Kuan Chee Heng (725 undi).

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, kemenangan BN di Semenyih tidak menggambarkan sokongan rakyat kepada BN secara keseluruhannya.

Tetapi, katanya, PH tidak boleh memandang ringan kekalahan hari ini, walaupun kekalahan dalam PRK adalah perkara biasa.

“Ini bagus untuk kita sedari, fokus sebab apa kita kalah.”

Katanya, “post-mortem” perlu dilakukan untuk mengkaji PH tewas di kawasan sendiri.

“Kalau di Cameron Highlands, mereka menang di tempat mereka. Jadi, berdasarkan keputusan hari ini, kita perlu lihat secara holistik bagaimana kita harus mendepani perkara ini.”

Tags: Tian Chua, Salahuddin Ayub, PH, PRK Semenyih