Kemenangan kami isyarat rakyat tak puas hati pada PH, kata BN

Calon BN, Zakaria Hanafi menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Muhammad Aiman Zainali dengan majoriti 1,914 undi.

KAJANG: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Mohamad Hasan menyifatkan kemenangan parti itu di pilihan raya kecil Semenyih ialah isyarat rakyat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

“Kemenangan ini amat baik dan ia menggambarkan memorandum rakyat untuk menyatakan rakyat berasa kesal dan tidak puas hati dengan prestasi PH hari ini,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman keputusan PRK Semenyih di Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang malam ini.

Turut hadir bekas perdana menteri, Najib Razak, Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan calon BN, Zakaria Hanafi menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Muhammad Aiman Zainali dengan majoriti 1,914 undi.

Zakaria mendapat 19,780 undi, Aiman sekadar meraih 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon bebas, Kuan Chee Heng (725 undi).

Sementara itu, Mohamad menolak dakwaan fenomena Najib yang terkenal dengan slogan “Malu apa bossku” sebagai formula kemenangan BN.

“Semua mainkan peranan, tidak ada satu cara yang memainkan peranan lebih besar daripada yang lain.”

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan aura ahli Parlimen Pekan itu sangat luar biasa.