Kerajaan perlu guna kaedah ketelusan harga kawal harga barang, kata pensyarah

Pemantauan harga menerusi Indeks Harga Pengguna yang digunakan ketika ini tidak efisien kerana tidak meliputi semua harga barang dan perkhidmatan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menggunakan kaedah ketelusan harga atau “price transparency” yang dilihat berupaya memantau dan mengawal harga barang dengan lebih berkesan.

Pengurus Pembangunan Perniagaan di Putra Business School UPM, Prof Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, satu mekanisme diperlukan supaya kerajaan boleh membandingkan dan mengemas kini harga barang dalam sesebuah industri.

“Dengan cara ini kerajaan boleh melihat berapa kos yang diperlukan sebelum ia dijadikan produk. Jadi kita boleh menilai adakah harganya munasabah ataupun ia sengaja dimanipulasi.

“Kita juga perlu tahu nilai industri itu sendiri. Harga pasaran, contohnya untuk industri pengangkutan dan industri minyak sudah jatuh sejak 10 tahun lalu. Maklumat seperti ini diperlukan supaya mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya kepada FMT.

Razman berkata, pemantauan menerusi Indeks Harga Pengguna (CPI) yang digunakan untuk mengukur harga barang ketika ini dianggap tidak efisien kerana tidak meliputi semua harga barang dan perkhidmatan di negara ini.

Ahmaed Razman Abdul Latiff.

“Buat masa ini, CPI hanya memantau 400 harga barang dan perkhidmatan, sedangkan di negara lain, mereka memantau sehingga 10,000 harga barang.

“Ini adalah kelemahan ketara dan jelas tidak memberi gambaran sebenar mengapa harga barang semakin meningkat di negara kita,” katanya.

Razman juga berasa hairan kenaikan harga untuk industri makanan segera seperti McDonald’s dan KFC baru-baru ini seolah-olah tidak mendapat perhatian daripada kerajaan sedangkan pengguna masih tertanya-tanya mengapa harga dinaikkan.

“Apabila harga naik mendadak, sudah tentu pengguna akan mempersoalkan mereka, tetapi adakah ada pemantauan pihak berkuasa? Pengguna tidak tahu,” katanya.

Pensyarah di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Abu Sofian Yaacob berkata, kaedah ketelusan harga sudah dipraktikkan dengan meluas di pelbagai negara, namun perkara itu belum berlaku di Malaysia.

Abu Sofian Yaacob .

“Ketelusan ini mempunyai banyak manfaat, harga memberi gambaran kualiti poduk yang dijual, maknanya kalau harga tinggi, maka kualiti produk itu adalah tinggi.

“Pengguna mempunyai pilihan untuk membeli produk yang bersesuaian dan boleh membantu kos kehidupan kerana mereka boleh memilih produk yang berharga rendah dan mampu dibeli,” katanya.

Namun, Abu Sofian mengharapkan kerajaan bertindak mengawal harga dengan lebih agresif dan tidak sentiasa menyebelahi peniaga.

“Kaedah ini boleh dibuat tetapi kena ada usaha daripada kerajaan.

“Peniaga di Malaysia memang tidak mahu memberi harga rendah atau pada margin keuntungan yang sedikit. Mereka lebih mementingkan keuntungan berlipat kali ganda tanpa memikirkan kepentingan pengguna secara keseluruhan,” katanya.