Najib tutup kempen Semenyih dengan laungan takbir

Najib Razak ketika berucap di ceramah BN di Taman Pelangi, pada malam terakhir kempen PRK Semenyih.

SEMENYIH: Malam terakhir tempoh berkempen pilihan raya kecil DUN Semenyih ditutup dengan laungan takbir bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, yang kembali popular dilambung fenomena “Bossku”.

Di hadapan kira-kira 1,000 penonton di ceramah di Taman Pelangi malam tadi, Najib sebelum itu memuji keikhlasan PAS yang turun membantu kempen Barisan Nasional, dalam usaha gabungan itu merampas semula kerusi yang terlepas pada pilihan raya umum ke-14.

“Nanti PAS bertanding tempat lain, kita sokong PAS pula, kita tidak pernah mungkir janji,” katanya disambut sorakan para hadirin.

Najib seterusnya mengetuai sorakan takbir 3 kali, menyimpulkan kerjasama Umno-PAS dalam kempen yang dikatakan mampu menghasilkan kejutan esok.

Dalam ceramahnya, Najib memberitahu hadirin bahawa usaha menghapuskan tol bukanlah perkara baru dan pernah dilakukannya semasa pentadbiran lepas.

Beliau berkata dia tidak sempat meneruskan usaha itu kerana BN dikalahkan pada pilihan raya umum ke-14.

“Saya hapuskan tol Cheras-Kajang, ada 11 tol yang kita sudah hapuskan. Kalaulah saya ada kuasa, banyak lagi yang kita hapuskan,” katanya.

Sebahagian daripada penonton yang bersesak-sesak untuk mendengar ceramah Najib Razak, yang kembali popular dengan slogan “Bossku”.

Najib dipercayai merujuk kepada antaranya tol Batu 9 dan Batu 11 Lebuhraya Cheras-Kajang yang dihapuskan pada Mac 2012.

Beliau sempat menyindir cadangan Pakatan Harapan memansuhkan kutipan tol antara jam 11 malam hingga 5 pagi di 4 lebuh raya di Lembah Klang.

Gabungan pemerintah itu dikatakan pernah berjanji mahu memansuhkan tol semasa PRU-14.

“Tidak pernah saya terfikir. Ini perbodohkan rakyat, takkanlah 11 malam sampai 5 pagi sahaja?” katanya.

“Waktu solat Subuh pun masuk pada 6.06 pagi. Pengundi DUN Semenyih tidak bodoh,” tambahnya.

Najib seterusnya berkongsi penerimaan luar biasa masyarakat Semenyih yang berpusu-pusu untuk bersamanya semasa melawat Tesco Semenyih minggu lalu.

“Orang kata ada 8,000 orang yang sambut saya, sedangkan saya tidak sediakan makanan pun. Saya juga tidak sediakan pengangkutan, tidak berikan hamper, saya cuma iklankan di Facebook sahaja, ada 8,000 orang yang datang.

“Lepas itu, pemimpin PH pun tiru saya. Tidak sama macam ‘Bossku’,” katanya.