NGO enggan mohon maaf, gesa JPN bincang kehilangan anak Indira

Indira Gandhi (kanan) bersama Presiden Hindu Sangam, RS Mohan (2 dari kanan) dan ketua Pasukan Bertindak Indira Gandhi, Arun Dorasamy (kiri) pada sidang media 23 Februari lalu.

PETALING JAYA: Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) hari ini menolak permintaan memohon maaf oleh Jabatan Pendaftaran Negara yang mendakwa kumpulan itu memfitnah jabatan terbabit mengeluarkan kad pengenalan MyKid baru bagi Prasana Diksa, anak bongsu guru tadika, M Indira Gandhi.

“Kebimbangan kami adalah sah. Siasatan awal kami menunjukkan ada langkah oleh sesetengah pihak menyembunyikan identiti Prasana dan mengelakkan dikesan, sama ada dengan mengubah atau mengeluarkan sekeping lagi MyKid baginya,” kata kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.

Badan bukan kerajaan yang ditubuhkan beberapa ahli persatuan sivil untuk membantu Indira mencari Prasana, menggesa JPN tidak bertindak defensif, sebaliknya mengadakan perbincangan dengan mereka.

Semalam, Ketua Pengarah JPN, Mohammad Razin Abdullah ketika menafikan ia mengeluarkan MyKid baru kepada Prasana, berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap Ingat, jika mereka enggan memohon maaf kerana memfitnah JPN.

Ketua Ingat, Arun Dorasamy berkata, Indira dan kumpulan itu sudah menyuarakan kebimbangan mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis.

Katanya, ketua siasatan Ingat, Ravi Dorasamy mendapat maklumat awam mengenai kedudukan bekas suami Indira, Muhammad Riduan Abdullah dan merasakan beliau tinggal berdekatan Thailand.

Pada 23 Februari lalu, Ingat menawarkan ganjaran RM10,000 kepada orang ramai untuk menjejaki Riduan.

Kumpulan itu berkata, mereka akan mendapatkan bantuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa untuk memeriksa sistem sekolah agama dan tahfiz bagi mencari Prasana.

Mahkamah Persekutuan pada April 2016 mengarahkan ketua polis negara menahan Riduan kerana menghina mahkamah selepas gagal mematuhi perintah menyerahkan Prasana kepada Indira.

Prasana berusia setahun pada 2009, ketika Riduan mengambilnya daripada Indira.

“Ingat sangat prihatin dengan keselamatan Prasana kerana maklumat yang ada tidak menyenangkan,” kata Arun.

Kumpulan itu akan mengadakan sembahyang pelbagai agama tidak lama lagi untuk mendoakan Prasana selamat kembali ke pangkuan Indira.

Indira berjaya membatalkan penukaran agama 3 anaknya oleh Riduan yang dahulu dikenali sebagai K Pathmanathan pada 29 Januari 2018.

Pada hari sama, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, usaha mengesan dan menahan Riduan masih berterusan sejak 2014, berdasarkan waran pengkomitan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 30 Mei 2014, dan menggesa orang ramai tampil memberi maklumat berkaitan mualaf itu.