Peratus keluar undi di Semenyih tertinggi dalam 6 PRK, kata SPR

Seramai 53,411 pengundi berdaftar layak mengundi bagi PRK Semenyih hari ini.

KAJANG: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Semenyih mencecah 73.34%, selepas semua 24 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, peratusan keluar mengundi itu tertinggi dalam 6 PRK selepas pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Peratus keluar mengundi hari ini sebanyak 73.34% dan melepasi sasaran (70%) seperti diumumkan (SPR) sebelum ini,” katanya ketika ditemui FMT di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di sini, malam ini.

Semenyih ialah PRK ke-6 selepas PRU14 pada Mei 2018, dengan PRK Sungai Kandis diadakan pada 4 Ogos lalu, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 September), Parlimen Port Dickson (13 Oktober) dan Parlimen Cameron Highlands (26 Januari).

PRK Sungai Kandis merekodkan 49.4% keluar mengundi, Balakong (43%), Seri Setia (44%), Port Dickson (58.3%) dan Cameron Highlands (68.79%).

Peratusan keluar mengundi bagi kerusi DUN Semenyih pada PRU14 tahun lalu ialah 88%.

Azhar berkata, peratusan keluar mengundi di Semenyih merangkumi pemilih biasa dan pengundi awal yang menunaikan tanggungjawab mereka pada 25 Februari lalu.

Seramai 53,411 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK Semenyih hari ini.

PRK DUN Semenyih diadakan selepas kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

PRK Semenyih menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon bebas, Kuan Chee Heng.