Pesawat Hawk 25 tahun masih mampu lindungi negara, kata panglima TUDM

Affendi Buang berkata, TUDM mempunyai 19 pesawat Hawk di seluruh negara ketika ini.

BUTTERWORTH: Pesawat Hawk yang mencapai usia 25 tahun dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia masih relevan sehingga kini dalam melaksanakan tugasan utamanya menjaga keselamatan dan kedaulatan ruang udara negara.

Panglima TUDM, Affendi Buang berkata, pesawat itu mampu kekal 10 tahun lagi dengan beberapa penambahbaikan, terutama dalam sistem dan teknologinya.

“Walaupun pesawat ini telah mencapai usia 25 tahun, tetapi dengan daya usaha daripada semua peringkat dalam TUDM telah menjadikan pesawat ini sebagai salah satu platform dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara kita.

“Memang ada keperluan untuk menambah jumlah pesawat itu yang ketika ini terdapat 19 buah di seluruh Malaysia, namun ia bergantung kepada sumber kewangan negara,” katanya selepas merasmikan sambutan Ulang Tahun Jubli Perak Pesawat Hawk di Pangkalan Udara Butterworth, hari ini.

Terdahulu, Affendi menaiki pesawat Hawk 108 dari Subang, Selangor yang diterbangkan Pegawai Memerintah No 6 Skuadron, Mohammad Syagol Abdul Hamid dan penerbangannya ke Pangkalan Udara Butterworth diiringi sebuah lagi pesawat Hawk 108.

Affendi berkata, sepanjang 25 tahun perkhidmatan, pesawat Hawk dioperasikan 3 skuadron, iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron.

“Antara operasi terbesar melibatkan pesawat ini adalah Op Daulat pada Mac 2013, di mana 5 pesawat Hawk ditugaskan melancarkan serangan udara di kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu, Sabah.

“No 6 Skuadron juga dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan dari Pangkalan Udara Kuantan, setelah tamatnya Op Daulat. Pemindahan ini bagi memperkukuhkan pertahanan negara di Sabah dan Sarawak.”

Menurutnya, pesawat Hawk turut digunakan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan No 15 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth untuk melatih juruterbang muda mengemudi pesawat pejuang, sebelum melayakkan mereka mengendalikan pesawat pejuang lain dalam TUDM.

Empat pesawat Hawk turut dijadualkan terlibat dalam persembahan udara di Langkawi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 yang dijangka berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini.

Sejarah permulaan perkhidmatan pesawat Hawk TUDM bermula 15 April 1994, selepas 2 pesawat pertama diterima melalui perjanjian persefahaman antara Malaysia dan United Kingdom yang dimeterai pada 10 Disember 1990.

Ketika itu, Malaysia bersetuju mendapatkan perkhidmatan 10 Hawk 108 dan 18 Hawk 208. Pesawat itu diterima secara berperingkat dengan 2 pesawat setiap bulan sehingga mencapai keseluruhan 28 pesawat.