PH perlu tunai janji walaupun kalah di Semenyih, kata Najib

Najib Razak mengucapkan tahniah kepada calon BN, Zakaria Hanafi yang memenangi PRK Semenyih hari ini.

KAJANG: Najib Razak menyifatkan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Semenyih sebagai tanda “kebangkitan rakyat” terhadap kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

“Takkanlah tiba-tiba Semenyih dah tak perlu klinik, tak perlu hospital, tak perlu jalan raya baik?

“Janji yang ditabur itu kita lihatlah sama ada benar-benar ikhlas atau sebenarnya janji bersyarat,” tulisnya dalam Facebooknya beberapa minit selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan PRK Semenyih.

Calon BN, Zakaria Hanafi menang dengan majoriti 1,914 undi, menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali yang meraih 17,866 undi, calon Parti Sosialis Malaysia, Nik Aziz Afiq Abdul dan calon bebas, Kuan Chee Heng yang masing-masing mendapat 847 undi serta 725 undi.

Ini adalah kemenangan ke-2 BN dalam PRK selepas kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Pada 26 Januari lalu, BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands, selepas kalah dalam 4 PRK di Selangor dan Negeri Sembilan.

Najib yang aktif berkempen di Semenyih di bawah tagline terbarunya, “Bossku” berkata, BN menyertai PRK Semenyih sebagai “underdog”.

“Jentera BN bukan sahaja berdepan PH, malah seluruh jentera dan sumber yang ada pada kerajaan persekutuan dan negeri.”

Beliau menggesa pengundi Semenyih menuntut janji PH sepanjang tempoh berkempen.

“Jangan kita beri peluang kepada kerajaan hari ini sekadar bercakap kosong demi undi.”