PRK Semenyih: Hari penentuan bagi calon bertanding

Pengundi mula memenuhi pusat mengundi seawal jam 7.00 pagi.

SEMENYIH: Selepas 14 hari bertarung idea dan semangat, hari ini akan menjadi penentu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sama ada kekal milik Pakatan Harapan (PH) atau “dirampas” pencabar terdekat dari Barisan Nasional (BN) dan 2 lagi calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta calon bebas.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang berakhir hari ini bakal menyaksikan seramai 53,411 pengundi biasa layak menunaikan hak mereka pada pilihan raya tersebut.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata, ini berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga 2018 yang dikemas kini sehingga 11 Jan 2019.

“Jumlah pengundi biasa yang layak mengundi dalam PRK Semenyih ialah 53,520 orang. Bagaimanapun daripada jumlah itu 109 mengundi secara pos, menjadikan jumlah yang layak mengundi 53,411 orang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Waktu mengundi ditetapkan dari 8 pagi hingga 5.30 petang.

Tinjauan FMT mendapati pengundi mula memenuhi pusat mengundi seawal jam 7.00 pagi.

Calon BN, Zakarian Hanafi.
Calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Calon BN, Zakaria Hanafi juga tiba di pusat mengundi di Dewan Khidmat Masyarakat, Kampung Sesapan Kelubi, Beranang pada jam 7.50 pagi.

PRK Semenyih menyaksikan saingan 4 penjuru iaitu membabitkan 3 calon mewakili parti dan seorang calon Bebas.

PH mencalonkan bekas jurutera yang juga merupakan bendahari PPBM Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali bagi mempertahankan kerusi tersebut yang dimenangi mereka semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

BN pula mempertaruhkan pengerusi tetap Umno cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, sebagai calon, manakala PSM mencalonkan ahli jawatankuasa Pemuda pusat parti itu, Nik Aziz Afiq Abdul.

Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang pula bertanding atas tiket Bebas.

PRK DUN Semenyih merupakan PRK ke-6 diadakan selepas PRU-14 yang berlangsung tahun lalu. Lima PRK terdahulu melibatkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong serta di Parlimen Port Dickson dan Cameron Higlands.