PRK Semenyih: SPR minta pihak berkuasa hentikan aktiviti raih undi serta merta

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun ketika meninjau proses pembuangan undi PRK Semenyih hari ini.

SEMENYIH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta pihak berkuasa mengarahkan supaya aktiviti meraih undi berdekatan kawasan pusat pengundian dihentikan serta-merta, kata pengerusinya Azhar Azizan Harun.

“Saya difahamkan terdapat peraih undi yang meminta pengundi untuk mengundi sesuatu parti. Kita telah arahkan pihak penguat kuasa untuk memberitahu mereka bagi menghentikan aktiviti tersebut serta merta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR juga menerima laporan terdapat barung atau pondok panas yang didirikan di kawasan pusat pengundian dan telah mengarahkan aktiviti meraih undi dihentikan serta merta.

Katanya, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak membina pondok panas bukan sahaja di kawasan 50 meter dari pusat mengundi, malah di mana-mana sahaja.

“Kita (SPR) benarkan pondok rehat di luar kawasan 50 meter, tetapi pondok itu tidak boleh digunakan untuk membuat apa-apa aktiviti meraih undi atau berkempen.

“Pondok rehat hanya boleh jadi untuk petugas makan dan minum. Aktiviti parti tidak dibenarkan sama sekali di pondok rehat,” katanya.