SPRM tahan pegawai kanan FGV disyaki minta suapan RM10,000

Sumber berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang, kira-kira 11.30 pagi ini.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hari ini menahan seorang pegawai kanan FGV Holdings Berhad bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan bernilai RM10,000.

Menurut sumber, suspek berusia 50 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Taman Prima Saujana, Kajang, dekat sini, kira-kira 11.30 pagi tadi.

Katanya, individu itu dipercayai menerima bayaran berkenaan sebagai dorongan bagi mengesyorkan lanjutan kontrak sebuah syarikat perkhidmatan kerja pengauditan persijilan antarabangsa untuk kilang sawit di bawah kelolaan syarikat berkaitan kerajaan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.