Terengganu rancang tutup lebih 50 anak syarikat kerajaan tidak aktif

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebanyakan syarikat berkenaan merupakan anak syarikat Terengganu Inc dan menjalankan perniagaan yang serupa antara satu sama lain. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Lebih 50 anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu yang tidak lagi aktif dalam sebarang aktiviti perniagaan akan ditutup dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah penutupan itu dijangka dapat menjimatkan perbelanjaan berjumlah ratusan ribu ringgit setahun yang sebelum ini digunakan untuk tadbir urus syarikat berkenaan meskipun tidak lagi menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Ada sebahagiannya langsung tidak menjalankan sebarang aktiviti perniagaan…kita tidak tahu kenapa sebelum ini tiada langkah penutupan dilakukan.

“Jika kita tidak tutup syarikat ini kita masih perlu menanggung kos pentadbiran ratusan ribu ringgit setahun kerana perlu bayar kepada setiausaha syarikat yang akan buat audit dan penama yang mentadbir syarikat ini.

“Selepas penutupan syarikat ini kerajaan negeri boleh fokus kepada syarikat yang lebih berdaya dalam perniagaan dan wang ratusan ribu ringgit itu boleh disalurkan kepada perkara yang lebih penting,” katanya kepada pemberita selepas program Makan Malam Ummah di sini, semalam.

Ahmad Samsuri berkata, kebanyakan syarikat berkenaan merupakan anak syarikat di bawah Terengganu Inc dan menjalankan perniagaan yang hampir serupa antara satu sama lain menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sihat.

Malah katanya, ada di antara syarikat tersebut menjalankan perniagaan bukan teras seperti mengeluarkan barang niaga untuk kerajaan negeri melibatkan kos yang tinggi.

“Langkah seterusnya adalah kita akan buat penggabungan syarikat selepas kita ‘memperkemaskan’ syarikat yang tidak diperlukan di bawah segmen perniagaan yang kita dah ada, contohnya bidang perhotelan, perladangan, minyak dan gas dan pembinaan.

“Bila kita buat penggabungan ini syarikat milik kerajaan negeri, semua aset yang kita milik boleh digunakan bersama, syarikat akan jadi lebih besar dan kukuh, lebih mudah untuk bersaing dengan syarikat lain,” katanya.