Usahawan mahu jadi ‘strawman’ selepas 2.7 juta straw kertas terjual dalam 4 bulan

Vicknesvarran terkejut apabila 2.7 juta batang straw kertasnya habis dibeli dalam tempoh 4 bulan.

PETALING JAYA: Hasrat seorang usahawan menggunakan straw kertas bagi tujuan peribadi bertukar kepada lubuk perniagaan selepas kerajaan melarang penggunaan straw minuman plastik di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

K Vicknesvarran, 34, berkata, beliau tidak pernah membayangkan permintaan straw kertas boleh meningkat sehinggalah suku akhir tahun lalu apabila 2.7 juta straw kertas yang dimportnya terjual dalam tempoh 4 bulan.

“Saya ada kedai runcit dan susah dapatkan bekalan straw kertas. Pada mulanya saya hanya mahu beli dan letakkan di kedai. Hanya lepas itu saya sedar tidak ada sesiapa pun yang bekalkan straw kertas.

“Ogos lalu saya buat keputusan mengimport straw minuman diperbuat daripada kertas ini dari China. Sambutannya sangat memberangsangkan, kata Vicknesvarran, yang lebih dikenali dalam kalangan rakan dengan panggilan sebagai Vicky.

Satu kontena yang ditempahnya dari China mempunyai 2.7 juta batang straw kertas.

“Pada mulanya saya jangka ia akan ambil masa sangat lama untuk dijual, tetapi tidak sangka rupa-rupanya stok pertama habis saya jual dalam tempoh 4 bulan sahaja,” katanya.

Terangsang dengan sambutan yang di luar dugaan itu, Vicky menempah satu lagi kontena daripada pembekal hujung tahun lalu,” ceritanya kepada FMT.

Penyedut minuman kertas selamat digunakan dan mematuhi piawaian ditetapkan.

Menurutnya, bekalan straw kertasnya itu habis dijual dalam masa singkat kerana pemborong dan pengusaha kedai makanan dan minuman, yang tidak lagi menggunaan straw plastik, menempah sehingga 10,000 batang straw kertas daripadanya.

Vicky memaklumkan, straw kertas seperti yang dijualnya 4 kali lebih mahal daripada straw plastik.

“Harga saya bergantung pada jumlah yang ditempah. Paling rendah RM0.06 sen sebatang,” katanya.

Vicky menyifatkan usahanya mengimport straw kertas itu sebagai memenuhi “situasi menang-menang” antara beliau dengan pengusaha makanan dan minuman di negara ini memandangkan mereka juga sudah berhenti menyediakan straw plastik kepada pelanggan.

Sekarang mereka sudah boleh memberi straw kertas kepada pelanggan yang masih mahu menggunakan straw untuk menyedut minum.

“Ada pelanggan fikir guna straw kertas tidak sesuai kerana ia cepat lembek dijerap air, tapi mereka salah. Sebenarnya straw kertas boleh tahan dalam air selama 4 hingga 5 jam. Selepas itu baru ia akan lembek dan lerai,” katanya.

Apa pun, kata Vicky, lebih penting straw kertas selamat digunakan. Gam yang digunakan untuk buat straw itu juga mesra alam, bukan dicampur bahan kimia.

Dengan pengalaman yang ada dan bilangan pemborong yang ramai, Vicky kini merancang untuk mencipta straw kertas sendiri dalam masa terdekat.

“Saya sedang memikirkan hendak beli mesin buat straw kertas, cuma kosnya agak tinggi,” katanya.

Sebuah mesin dianggarkan berharga sekitar RM70,000.

“Jika saya ada kilang buat straw sendiri, bolehlah saya jual dengan harga lebih rendah kerana saya dapat kurangkan kos. Sekarang, saya perlu bayar cukai import dan lain-lain,” katanya.

Vicky menjangkakan perniagaannya akan berkembang dan masanya akan sampai untuk beliau mendirikan kilang membuat straw kertas apabila lebih ramai pengguna menyedari manfaat menggunakan straw kertas dan lebih ramai pemborong menempah daripadanya.

Impiannya untuk lebih berjaya dalam perniagaan straw kertasnya itu dan dikenali sebagai “strawman” pula nampak seperti akan tercapai tidak lama lagi.

Baru-baru ini, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad memaklumkan straw minuman kertas adalah antara alternatif yang diperkenalkan kementeriannya berikutan larangan penggunaan penyedut plastik berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurut Khalid, sepanjang tahun ini, pihaknya akan menjalankan kempen untuk mendidik pengguna mengenai larangan penggunaan straw plastik dan menggalakkan mereka berusaha mematuhi larangan tersebut.

Katanya, tindakan terhadap mereka yang melanggar arahan itu akan diambil mulai tahun depan.