3 pekerja Invoke dicekup polis kes salah guna, miliki ganja

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, majikan tidak bertanggungjawab atas tindakan yang diambil pekerja di luar waktu pejabat.

PETALING JAYA: Tiga individu penting dalam Invoke Malaysia (Invoke) yang dimiliki oleh Rafizi Ramli ditahan polis, malam tadi kerana disyaki memiliki dan menyalahgunakan dadah.

Perkara itu disahkan oleh ketua polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, S Shanmugamoorthy ketika dihubungi FMT, hari ini.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat berhubung kes penyalahgunaan dan memiliki dadah.

“Tiga suspek itu kini ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Sentul, dan dibenarkan reman selama 6 hari bermula 3 hingga 9 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tinjauan FMT di laman web Invoke mendapati suspek masih bekerja di Invoke Malaysia Sdn Berhad. Syarikat yang dinaungi oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

“Suspek merupakan pegawai eksekutif pemasaran serta pereka grafik di syarikat Invoke Malaysia, manakala seorang lagi merupakan bekas pekerja,” kata Shanmugamoorthy.

Tambah Shanmugamoorthy, tangkapan dibuat selepas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik menerima laporan berhubung kegiatan 3 suspek tersebut di sebuah unit kondominium di Sentul.

“Kira-kira 75g ganja ditemui dalam milikan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjarakan tidak kurang 5 tahun dan dirotan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ketika dihubungi, Rafizi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai tangkapan itu dan telah menyerahkan perkara tersebut kepada peguam syarikat untuk mendapat maklumat lanjut daripada pihak polis.

Beliau berkata, beliau hanya mengetahui perkembangan itu daripada laporan media bahawa 2 kakitangan dan seorang bekas kakitangan Invoke ditahan polis pagi tadi atas tuduhan bersabit ganja.

Rafizi berkata, perkara yang berlaku di luar waktu pejabat adalah urusan peribadi kakitangan beliau.

“Jika berlaku sebarang pelanggaran disiplin yang bertentangan dengan tata cara perkhidmatan (semasa waktu bekerja atau di luar waktu kerja), pelanggaran itu akan dibawa kepada proses disiplin di tempat kerja mengikut undang-undang buruh dan dasar syarikat,” katanya.

Rafizi menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menguruskan siasatan kes ini (dan tindakan lanjut) seperti kes lain.

“Mana-mana majikan di dalam dunia ini tidak bertanggungjawab atas sebarang tindakan yang diambil pekerja di luar waktu pejabat,” katanya