Dakwaan rasuah ‘bohong’, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, projek terowong dasar laut dan jalan raya di Pulau Pinang dilaksanakan melalui tender terbuka.

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menolak dakwaan beliau terlibat dalam skandal rasuah berhubung projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan raya di Pulau Pinang dan menyifatkannya sebagai “bohong yang tidak masuk akal”.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad juga menyebut dakwaan yang terkandung dalam blog itu bohong, sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap pemiliknya.

“Saya fikir di Pulau Pinang, anda semua tahu projek ini dilaksanakan melalui tender terbuka.

“Jadi bagaimana ada rasuah bila ada tender terbuka?”, katanya kepada pemberita selepas merasmikan larian “I Love Penang” di sini, pagi ini.

Lim berkata, kerajaan sebelum ini juga pernah menyiasat projek berkenaan dan tidak mengambil apa-apa tindakan.

Katanya, pegawai penting projek berkenaan pernah ditahan tetapi tidak didakwa.

Beliau berkata, seorang pemimpin PAS pernah membuat dakwaan yang sama terhadap beliau, tetapi kemudian menarik balik kenyataan itu di mahkamah.

“Malah saya pernah menyaman pemimpin PAS, Nasrudin (Hassan) selepas beliau membuat dakwaan yang sama. Beliau kemudiannya menarik balik kenyataan itu, merakamkan kekesalan, malah membayar kos guaman saya sebanyak RM10,000.

“Mana-mana orang yang mahu menimbulkan perkara ini bukan sahaja perlu melihat kepada fakta, tetapi juga kes mahkamah ini…anda perlu ambil kira hal ini,” katanya.

Raja Petra Kamarudin baru-baru ini menerbitkan beberapa tulisan mengenai kertas siasatan SPRM ke atas projek terowong dasar laut dan jalan raya di Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM6.3 bilion.

Lim dan beberapa orang anggota Exco kerajaan disebut dalam siasatan tersebut, menurut catatan blog berkenaan.

Lim memfailkan saman terhadap Nasrudin berhubung kenyataan beliau mengenai projek berkenaan di laman Fabebooknya yang bertajuk “Apa beza Kidex dan Terowong Pulau Pinang” pada 6 Ogos 2014.

Dalam catatan itu, Nasrudin mempersoalkan kenapa menteri besar Selangor pada masa itu, Abdul Khalid Ibrahim, dikecam berhubung projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), sedangkan Lim tidak persoalkan berhubung projek di Pulau Pinang, yang menurut Nasrudin dianugerahkan melalui rundingan terus.

Satu penghakiman persetujuan dicapai pada 19 Januari 2016, dengan Lim menarik balik samannya terhadap Nasrudin selepas pemimpin PAS itu bersetuju untuk menarik balik dakwaannya yang tidak berasas terhadap Lim, yang ketika itu merupakan ketua menteri Pulau Pinang.

Terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu akan menghubungkan Jalan Pangkor di George Town dengan Bagan Ajam di Butterworth. Ia akan dibina sekurang-kurangnya 20 meter di bawah dasar laut.