Gaji minimum ikut sektor bukan dilaksana sekarang, kata menteri

M Kulasegaran berkata, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 menetapkan kajian semula gaji minimum harus dilakukan setiap 2 tahun. (Gambar Bernama)

IPOH: Pelaksanaan gaji minimum mengikut sektor hanya akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dalam 2 tahun akan datang, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Beliau berkata, mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, kajian semula mengenai gaji minimum harus dilakukan setiap 2 tahun.

“Ramai orang tidak faham tentang hal gaji, ia ditentukan satu jawatankuasa (Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara), menteri tidak ada kuasa.

“Sebelum pelaksanaan gaji minimum RM1,100, semua aspek perbincangan sudah diadakan, tetapi mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011, ia akan dikaji semula dan pelaksanaannya bukan sekarang,” katanya selepas program Satria 4.0 & TVET Seminar 2019 di Institut Perindustrian Ipoh (ILP) Meru.

Isnin lalu, media melaporkan kerajaan akan mengkaji semula kadar gaji minimum mengikut sektor pekerjaan.

Dalam laporan itu, Kulasegaran mengambil contoh kadar gaji minimum di Sabah secara umumnya sebelum ini dinaikkan kepada RM1,100 daripada RM920 yang dilihat menimbulkan rungutan majikan di negeri itu.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, buat masa ini, menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana majikan enggan atau membayar gaji kurang daripada RM1,100.

Dalam program yang dihadiri lebih 300 pelajar hari ini, Kulasegaran menerangkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) mempunyai peluang pekerjaan cerah pada masa depan, termasuk dalam bidang perfileman.

“Sebelum ini, saya telah berjumpa dengan pelakon terkenal filem Tamil dari India, Kamal Hassan yang menyatakan kepada saya, India kurang mempunyai pekerja mahir teknikal dalam bidang perfileman.

“Dia menyatakan mungkin kita boleh mengadakan institusi teknikal untuk mengajar supaya mereka (penggiat filem India) boleh membuat lebih banyak penggambaran filem di Malaysia.”