Henti label bukan Islam ‘kafir’, gesa pertubuhan Islam terbesar Indonesia

Nahdlatul Ulama menerusi persidangan nasionalnya baru-baru ini menyimpulkan orang bukan Islam sepatutnya digelar ‘muwathin’ atau warganegara yang mempunyai hak dan kewajipan sama seperti umat Islam Indonesia. (Gambar AFP)

JAKARTA: Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdlatul Ulama menggesa penggunaan istilah “kafir” dihentikan, bagi merujuk bukan Islam dalam isu berkaitan kewarganegaraan atau negara.

Langkah itu mungkin bertujuan meredakan ketegangan agama menjelang pilihan raya presiden di Indonesia.

Nahdlatul Ulama yang mempunyai kira-kira 140 juta ahli, menerusi persidangan nasionalnya baru-baru ini berkata, orang bukan Islam tidak perlu dilabel “kafir” kerana mereka mempunyai kedudukan sama dalam hal ehwal negara.

Setiausaha Lembaga Bahtsul Masail Nahdlatul Ulama Jawa Timur, Ahmad Muntaha berkata, persidangan itu menyimpulkan orang bukan Islam sepatutnya digelar “muwathin” atau warganegara yang mempunyai hak dan kewajipan sama seperti umat Islam Indonesia.

Jumaat lalu, beliau dalam satu kenyataan disiarkan di laman web kumpulan itu berkata, umat Islam tidak patut melabelkan bukan Islam sebagai “kafir” dalam mana-mana konteks sosial.

Persidangan itu turut menekankan sebagai sebuah negara, Indonesia tidak ditubuhkan umat Islam saja.

Gesaan Nahdlatul Ulama itu dibuat ketika Indonesia bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya presiden pada 17 April ini.

Isu agama menimbulkan perpecahan antara penyokong Presiden, Joko Widodo dan lawannya, Prabowo Subianto.

Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, berdepan bantahan sesetengah kumpulan Islam yang mendakwa beliau berat sebelah terhadap sesetengah ulama.

Jokowi memilih tokoh agama, Ma’ruf Amin sebagai gandingannya dalam pilihan raya presiden. Ma’ruf ialah ketua Majlis Ulama Indonesia dan pengerusi Majlis Penasihat Nahdlatul Ulama.

Jokowi menyangkal dakwaan terhadapnya yang disifatkannya tidak berasas.