Institut Pendidikan Guru KB dijadikan pusat latihan guru IndoChina, kata Maszlee

Maszlee Malik berkata, Institut Pendidikan Guru Kota Bharu hampir ditutup di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu. (Gambar Facebook)

KOTA BHARU: Kualiti Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu di Pengkalan Chepa akan dipertingkatkan, sekali gus mampu menjadi pusat latihan bagi guru dari IndoChina.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, langkah itu diambil selepas Kementerian Pendidikan mengkaji semula fungsi institut berkenaan yang hampir ditutup ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Dalam tempoh terdekat ini, kita nak tingkatkan kualiti IPG Kota Bharu serta latihan dalam perkhidmatan. IPG Kota Bharu istimewa kerana ia mempunyai kebitaraan (keunikan) untuk pasaran antarabangsa, terutama bagi IndoChina, sekali gus dapat membawa nilai ekonomi kepada Kelantan.

“Buat masa ini, Jabatan Pengajian Melayu IPG Kota Bharu menawarkan latihan secara berkala (kursus Bahasa Malaysia) kepada guru-guru dari selatan Thailand,” katanya selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Pemerkasaan IPG Kampus Kota Bharu di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah IPG Kota Bharu, Hashim Deraman, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa dan Pengerusi Biro Pendidikan PH Kelantan, Kamaruddin Md Noor.

Sementara itu, Maszlee dalam ucapannya berkata, selaras dasar progresif kerajaan persekutuan yang bersetuju membuka laluan 24 jam ke Thailand, aktiviti pendidikan boleh memainkan peranannya tersendiri dalam merancakkan ekonomi berasaskan “Edu-Economy”.

“IPG Kota Bharu boleh menyumbang kepakaran dalam menjalankan kajian, mengetuai program-program seminar serta melatih guru-guru dari luar negara.

“Secara tidak langsung, ia menjadikan pendidikan sebagai produk pelancongan dan menjadi segmen penting dalam meningkatkan keupayaan ekonomi, di samping mampu mempromosikan Kelantan sebagai pusat kecemerlangan akademik serantau.”

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, elaun guru siswa di IPG seluruh negara sebanyak RM430 sebulan dan belanja tambang dengan kadar maksimum RM500 sudah dibayar, berikutan terdapat aduan kedua-dua elaun berkenaan belum dibayar.

Selain itu, Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan turut memperuntukkan RM30,000 kepada Sekolah Kebangsaan Beris Panchor untuk penyelenggaraan, RM130,000 kepada SK Cantum untuk pendawaian elektrik, RM479,000 kepada SK Sri Kemudi dan RM463,000 untuk SK Pak Pura bagi pembaikan bumbung.