Kaji Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia elak disalah guna, kata SKMM

SKMM akan bekerjasama dengan polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara dengan menyalahgunakan media sosial serta internet. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memberikan punca kuasa penguatkuasaan media sosial dan internet kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang dikaji dan diperkemaskan untuk memastikan skop serta penggunaannya tidak disalahgunakan.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata, ia antara usaha dilakukannya bagi memastikan sebarang anasir yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat dan negara dapat dikawal serta dibendung sepenuhnya.

“Selain itu, suruhanjaya itu akan mempergiatkan lagi aktiviti mendidik masyarakat melalui program-program advokasi ‘Klik Dengan Bijak’ untuk memupuk pembudayaan penggunaan internet secara positif dan berhemah,” menurut kenyataan itu.

Katanya, ia menyedari terdapat segelintir pihak menyebarkan agenda yang boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum serta mengganggu gugat ketenteraman awam, lantas menjurus kepada polemik perkauman dan keagamaan.

Sehubungan itu, SKMM menerusi kerjasama dengan polis khususnya tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara menerusi penyalahgunaan saluran media sosial dan internet.

“Sebanyak 47 kertas siasatan dibuka SKMM antara 2018 hingga Februari tahun ini dengan 5 daripadanya telah dijatuhkan hukuman. Dalam tempoh sama, sejumlah 2,358 proses bantuan teknikal dan pengenalpastian maklumat bagi membantu proses siasatan agensi penguatkuasaan dilaksanakan SKMM.

“Selain itu, sebanyak 3,407 akaun media sosial palsu, termasuk disalahgunakan untuk penyebaran mesej bersifat ekstremis, kebencian dan fitnah serta 1,163 kandungan berunsur sama telah disusuli tindakan pemadaman dengan kerjasama pengendali platform media sosial antarabangsa.”

Dalam tempoh sama, SKMM turut membantu menguar-uarkan maklumat bagi menangani 979 berita palsu yang tular di media sosial dan internet, melalui inisiatif portal sebenarnya.my yang dikendalikannya.