Kerjasama BN-PAS punca PH kalah di Semenyih, kata Dr M

Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad berkata, kerjasama BN-PAS hanya boleh ‘berfungsi’ dalam PRK kerana menang atau kalah tidak penting.

PUTRAJAYA: Dr Mahathir Mohamad hari ini mengakui kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dengan PAS menyebabkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) menurun dan menjadi punca kekalahan calonnya dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, semalam.

Pengerusi PPBM itu berkata, kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas adalah berbeza dengan situasi semalam kerana pilihan raya tersebut menyaksikan undi PAS dan BN berpecah kerana tidak mempunyai kerjasama yang utuh.

“Sebab itu mereka tak boleh capai undi yang banyak dan kita (PH) menang,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Landskap di Taman Botani, Putrajaya, hari ini.

Semalam, calon Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi merampas kerusi Semenyih daripada PH dengan majoriti 1,914 undi, setelah mengalahkan 3 pencabarnya daripada PH, Parti Sosialis Malaysia dan seorang calon Bebas.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, gabungan kedua-dua parti itu membawa pemikiran negatif sehingga mewujudkan provokasi dalam masyarakat.

“Mereka ada pemikiran yang negatif sehingga menimbulkan kemarahan orang,” katanya.

Dengan memberikan contoh kes penghinaan karikatur Nabi Muhammad di media sosial baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, beliau tidak faham bagaimana provokasi yang dibawa dengan menggunakan kes tersebut dapat menambah baik negara.

“Kita tidak mahu lakukan (provokasi) seperti itu hanya kerana mahu rakyat marah,” katanya kepada pemberita.

Perdana Menteri, Dr. Mahathir hadir sambutan Hari Lanskap 2019, di Taman Botani Putrajaya. Hadir sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.

Apabila ditanya, sama ada gabungan itu akan menggugat PH pada masa akan datang, beliau berkata, gabungan itu hanya boleh “berfungsi” dalam PRK.

“Ya, mereka boleh bekerjasama dalam PRK kerana menang atau kalah tak penting.

“Tetapi jika pilihan raya umum, mereka tidak boleh bekerjasama. Jika mereka berbuat demikian pun, PAS tidak akan mendapat apa-apa,” katanya.

Dalam PRK semalam, calon BN Zakaria Hanafi, meraih 19,780 undi menewaskan calon PH, Muhammad Aiman Zainali, yang mendapat 17,866 undi; Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon Bebas yang juga aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

Pada sidang media yang diadakan selepas itu, Dr Mahathir sekali lagi menegaskan rundingan berhubung perjanjian jualan harga air dengan Singapura akan diteruskan.

Beliau berkata, perjanjian air sedia ada adalah mengarut dengan kadar semasa 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

“Ia mengarut! Sesuatu perjanjian yang dipersetujui pada tahun 1926 dengan harga 3 sen untuk 1,000 gelen mungkin sesuai dengan zaman itu.

“Tetapi tidak untuk zaman ini,” katanya.

Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan animasi menerusi Virtual Reality (VR) ketika merasmikan Hari Lanskap 2019, di Taman Botani, Putrajaya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai perkembangan terbaru rundingan harga semasa air dengan negara jiran, Singapura.

Sebelum ini, Dr Mahathir menggesa rakyat Johor supaya berjuang untuk mendapatkan harga air yang lebih baik dengan Singapura kerana kadar semasa 3 sen bagi setiap 1,000 gelen adalah terlalu murah.

Berikutan itu, Menteri Besar Johor, Osman Sapian pada Jumaat lepas berkata, kerajaan sedang merancang untuk menghentikan pembelian air terawat dari Singapura dan akan berdikari merawat airnya sendiri.

Perjanjian air semasa dengan Singapura akan berkuat kuasa sehingga tahun 2061.