Laporan: Ada rakyat Malaysia guna borang vaksin palsu tunai haji

Akbar Sunday Times Singapura mendakwa ejen pelancongan dan doktor terlibat dalam memalsukan borang pemvaksinan jemaah haji. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sewaktu perdebatan sama ada pemvaksinan patut diwajibkan atau sebaliknya, satu laporan mendakwa masalah kumpulan anti-vaksin kini berkembang kepada mereka yang mahu berkunjung ke Makkah.

Akhbar Sunday Times Singapura berkata, walaupun wujud peraturan ketat yang mewajibkan jemaah yang mahu menunaikan umrah atau haji divaksin terlebih dahulu, ia dimaklumkan pelanggaran peraturan tersebut berlaku dengan menggunakan ejen pelancongan atau doktor untuk memalsukan borang pemvaksinan tersebut.

Ia berkata, taktik tersebut boleh mendedahkan jemaah Malaysia kepada penyakit berjangkit seperti meningitis melalui percampuran dengan berjuta-juta orang dari seluruh dunia di Arab Saudi atau menjangkitkannya kepada orang lain ketika berada di sana.

Menurut laporan yang diterbitkan hari ini, kira-kira 3 juta orang menunaikan ibadat haji di Makkah setiap tahun.

Mereka termasuklah kira-kira 30,000 rakyat Malaysia yang akan berada di negara itu selama 1 bulan untuk menunaikan haji, dan 200,000 yang lain pergi ke sana selama 2 minggu untuk menunaikan umrah.

“Saya dan keluarga menunaikan umrah 2 tahun lepas tanpa mendapatkan vaksin meningococcal,” laporan itu memetik pengakuan Muhammad Quddus, 43, seorang peniaga dari Petaling Jaya.

“Agensi pelancongan yang uruskan perkara itu dengan mendapatkan seorang doktor untuk menandatangani buku kesihatan kami.

“Saya diberitahu mereka (syarikat itu) juga ‘mengurus’ jemaah haji yang tidak mahu divaksin,” katanya.

Maimunah Ishak, 45, seorang eksekutif di sebuah firma guaman di Selayang mendakwa beliau menggunakan khidmat pihak ketiga untuk keluarganya 3 tahun lepas.

“Masalahnya ialah untuk mendapatkan seseorang (doktor) yang mahu menandatangani buku kesihatan kami. Selepas beberapa bulan mencuba, akhirnya kami bertemu seorang ustaz yang mengendalikan sebuah agensi pelancongan yang sanggup melakukannya untuk kami. Kami perlu membayar RM500 satu kepala,” katanya, menurut laporan itu.

Seorang “pegawai tertinggi kerajaan” memberitahu akhbar tersebut bahawa vaksin meningococcal adalah diwajibkan, tetapi sesetengah jemaah haji menolaknya kerana kepercayaan peribadi mereka.

“Kami maklum akan keadaan itu yang melibatkan pengamal perubatan yang ada, tetapi bagaimana ia dilakukan, itu kami tidak tahu.”

Kerajaan Arab Saudi mewajibkan bakal jemaah haji menjalani pemvaksinan meningococcal sebelum permohonan visa mereka diluluskan. Suntikan pencegahan lain, seperti suntikan selsema, juga digalakkan, tetapi tidak diwajibkan.

Laporan itu menyebut, pihak berkuasa Malaysia, terutama Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan memastikan keperluan kesihatan ini dipenuhi.

Pengurus besar kanan Jabatan Haji TH, Syed Saleh Syed Abdul Rahman memberitahu akhbar itu bahawa semua jemaah haji mesti lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat pemvaksinan wajib meningococcal.

“Buku rekod itu disahkan secara sistematik oleh Kementerian Kesihatan dan diperiksa oleh TH. Tidak ada pengecualian,” katanya.

Laporan itu menyebut tentang masalah kumpulan anti-vaksin yang semakin berkembang dan mendapat perhatian kerajaan Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kumpulan ini dikatakan sebagai punca peningkatan kes penyakit campak dan difteria, yang kadang-kadang membawa maut, dalam beberapa tahun ini.

Kumpulan ini menolak inokulasi atas alasan ragu terhadap status halal vaksin tersebut, kata laporan itu lagi.

Sementara ini, ada kumpulan yang mempercayai teori konspirasi melibatkan “Order Dunia Baru” atau “Big Pharma” yang menurut mereka menghasilkan virus sebelum membangunkan vaksin untuknya bagi mendapatkan keuntungan.

FMT sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan mewujudkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji cadangan dan gesaan mewajibkan pemvaksinan.

Ini berikutan kematian budak lelaki berusia 2 tahun di Johor Bahru akibat difteria. Dia tidak pernah divaksin.

5 kanak-kanak yang dipercayai bercampur dengan budak itu telah dikuarantin selepas didapati positif difteria.