Malaysia sedia dengar cadangan syarikat mahu cari MH370, kata menteri

Loke Siew Fook (kanan) melihat serpihan sayap MH370 yang dipamerkan sempena Majlis Memperingati Tragedi MH370 di Pusat Beli-belah Publika, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan bersedia mendengar cadangan syarikat penerokaan atau pencarian yang mempunyai petunjuk dan teknologi boleh dipercayai bagi menggerakkan semula misi menjejaki pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Beliau berkata, kerajaan masih menunggu cadangan daripada syarikat penerokaan dasar laut, Ocean Infinity atau mana-mana pihak menjalankan misi pencarian yang boleh memberikan petunjuk baru boleh dipercayai berdasarkan terma “No cure, no fee” yang bermakna bayaran hanya dibuat selepas serpihan pesawat ditemui dan disahkan pihak ke-3.

“Kita akan mengkajinya. Kita pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini dan kita bersedia untuk berbincang dengan mereka mengenai cadangan baru, jika ada.

“Selepas misi pencarian tahun lepas ditamatkan, tiada cadangan baru daripada Ocean Infinity. Misi pencarian tidak dapat dilakukan sepanjang tahun kerana cuaca dan sebagainya.

“Jika Ocean Infinity boleh mengemukakan cadangan baru, kita akan berbincang dengan mereka,” katanya pada Majlis Memperingati Tragedi MH370 ke-5, hari ini.

Beliau berkata, cadangan mengenai teknologi perlu lebih membantu dan efisien dalam pencarian sebagai sebahagian jaminan untuk memulakan pencarian semula.

Ditanya sama ada ganjaran akan diberikan kepada mana-mana pihak yang menemui pesawat hilang itu, beliau berkata, terma perjanjian adalah sama seperti yang dibuat dengan Ocean Infinity sebelum ini.

Beliau juga menyangkal dakwaan kerajaan menyembunyikan maklumat dalam laporan MH370 terakhir.

“Laporan itu disiarkan sepenuhnya. Tidak timbul isu menyembunyikan apa-apa maklumat.”

MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014 dengan 227 penumpang dan 12 kru.

Usaha pencarian di dasar laut dijalankan hampir 3 tahun untuk mengesan pesawat tersebut di Lautan Hindi meliputi kawasan seluas 120,000km persegi melibatkan Australia, China dan Malaysia, berakhir tanpa menemui bangkai pesawat itu.

Pada 29 Mei tahun lalu, syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, yang menjalankan misi pencarian terakhir MH370 di Lautan Hindi, menamatkan pencarian selepas gagal menemui sebarang serpihan.

Pada Julai 2018, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 halaman merumuskan mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan “campur tangan menyalahi undang-undang” oleh pihak ke-3 yang menyebabkan insiden itu.