Mujahid tak tahu ada kes jemaah palsukan borang vaksin

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa menyuarakan kebimbangan terhadap laporan sesetengah rakyat Malaysia menggunakan borang vaksin palsu untuk menunaikan haji, tetapi beliau tidak pernah dengar mengenai kes sedemikian.

Beliau yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam berkata, salah untuk memalsukan dokumen dan tindakan boleh diambil terhadap agensi pelancongan yang membantu memalsukan borang vaksin bagi jemaah.

“Penting untuk jemaah divaksin dan mendapatkan borang yang disahkan, jika mereka mahu menunaikan haji atau umrah.

“Jika jemaah ini enggan berbuat demikian, ia akan membawa lebih banyak keburukan kerana mereka akan menyebarkan penyakit kepada orang lain,” katanya kepada FMT hari ini.

Sunday Times Singapura hari ini melaporkan masalah kumpulan anti-vaksin kini berkembang kepada mereka yang menunaikan haji di Makkah.

Akhbar itu melaporkan walaupun peraturan ketat mewajibkan jemaah yang mahu menunaikan umrah atau haji divaksin terlebih dahulu, difahamkan ada yang melanggar peraturan itu menggunakan ejen pelancongan dan doktor untuk memalsukan borang vaksin.

Menurut laporan itu, taktik itu boleh mendedahkan jemaah Malaysia kepada penyakit berjangkit seperti meningitis melalui percampuran dengan berjuta jemaah dari seluruh dunia di Arab Saudi atau menjangkitkannya kepada orang lain kerana kira-kira 3 juta jemaah ke Makkah setiap tahun.

Mujahid berkata, memalsukan borang vaksin salah dari segi moral dan ia boleh dianggap jenayah besar.

“Ini kali pertama saya mendengarnya. Rakyat perlu mematuhi peraturan dan borang vaksin tidak patut dipalsukan begitu saja.”

Katanya, beliau akan menyiasat syarikat atau agensi pelancongan mana yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab itu.

“Jika ada sebarang bukti yang ada syarikat atau doktor terbabit dalam aktiviti sedemikian, kami tentu akan mengambil tindakan.”